Cukai Baru, Harga Barang : Masuk Sidang Kedua Parlimen Gaya Dolak Dalih Kerajaan Masih Sama

KUALA LUMPUR, 15 Okt – Walaupun sudah menjadi Kerajaan, namun sikap Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) masih lagi seperti pembangkang. Sikap berdolak-dalih dan sering menuding jari masih terus menjadi permainan pemimpin PH.

Ini jelas dapat dilihat di dalam sidang kedua Dewan Rakyat yang bermula hari ini.

Sebagai contoh Menteri Kewangan Lim Guan Eng, bukan sahaja tidak menjawab persoalan yang diajukan tetapi menuduh pula wakil Rakyat Barisan Nasional (BN) menabur fitnah.

Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat, meminta jawapan berkenaan cukai baru yang akan diperkenalkan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Ismail di dalam soalannya meminta Guan Eng menjelaskan mengenai cukai baru yang akan diperkenal oleh kerajaan PH itu dalam masa terdekat ini kerana ujar beliau, walaupun cukai GST telah dihapuskan, namun ia masih gagal mengurangkan beban rakyat.

“Dan dari segi bebanan kepada rakyat tidak ada bezanya (penghapusan GST). Malah harga barang terus meningkat, kos sara hidup terus meningkat dan sebagainya. Mungkin itu merupakan kesilapan kerajaan menggantikan GST dengan SST.

“Kerajaan ada mengumumkan akan memperkenalkan cukai baru yang saya percaya juga untuk menambah pendapatan kepada negara.

“Apakah jenis cukai yang akan diperkenalkan tersebut? Berapakah jangkaan pendapatan negara melalui cukai yang akan diperkenalkan dan apakah impak kepada rakyat?” soal Ismail.

Menjawab persoalan itu, Guan Eng menempelak Ismail kerana jelas beliau kerajaan PH tidak pernah memberi jaminan harga barang tidak akan naik dengan pengenalan semula SST.

“Sekiranya Yang Berhormat boleh tunjuk di mana saya ada sebut di mana SST akan menyebabkan kekurangan harga tolong tunjuk pada saya. Tapi sekiranya tiada bukti, janganlah cuba untuk menyebarkan fitnah jahat yang tidak berasas ini.

“Menyebarkan fitnah jahat sudah tidak laku lagi. Fitnah adalah perkara lapuk. Biar kita tujukan kepada fakta, angka yang sebenarnya barulah ini akan dapat sokongan daripada rakyat.

“Tentang kadar cukai baru yang akan dikenakan, tinggal dua minggu lagi sebelum belanjawan akan dibentangkan. Saya harap YB Bera sabarlah sikit. Tunggulah dua minggu seperti rakyat Malaysia,” katanya.

Untuk rekod, pada sesi persidangan Dewan Rakyat yang lepas, ahli Parlimen PH Damansara, Tony Pua yang juga merupakan penasihat khas Menteri Kewangan di dalam perbahasannya di Dewan Rakyat berkata harga barang-barangan akan lebih murah apabila SST dilaksanakan semula. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.