Isu Banjir : Kerajaan Johor Sila Proaktif Bantu Rakyat – Pemuda Pulai

JOHOR BAHRU, 13 Okt – Pemuda UMNO Pulai menggesa kerajaan Pakatan Harapan (PH) Johor agar mengambil langkah proaktif membantu rakyat dalam menangani permasalahan banjir kilat yang menghantui penduduk terutama ketika musim tengkujuh ini.

Justeru itu, Ketua Penerangannya, Muhammad Shaqib Shahrilnizam berharap agar kerajaan negeri menyegerakan tindakan untuk mewujudkan Pelan Pengurangan Risiko Bencana (Disaster Risk Reduction Plan), Pelan Bandar Perubahan Iklim (Climate Resilient City Plan) dan Pelan Adaptasi Bandar Johor Bahru (Johore Bahru City Adaptation Plan).

“Begitu juga mengkaji balik penstrukturan dan perancangan bandar Johor Bahru di bawah kuasa Pihak Berkuasa Tempatan dan kerajaan negeri Johor bagi mengelakkan perkara sebegini berlaku.

“Saya menyeru pihak kerajaan mengambil langkah proaktif untuk menangani masalah isu tersebut. Sekiranya kerajaan negeri dan pihak berkuasa tidak memandang serius terhadap perkara ini, ia akan menjejaskan sosio ekonomi di Johor Bahru dan memberi cerminan kepada rakyat bahawa kerajaan pada hari ini gagal menyelesaikan masalah rakyat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau membentangkan cadangan demikian ketika mengulas mengenai kejadian pusat bandar tersebut yang telah dilanda banjir kilat ekoran hujan tiada hentinya selama tiga hari berturut-turut baru-baru ini.

“Ini (banjir) menyebabkan beberapa jalan utama di kawasan Johor Bahru telah disekat dan beberapa kawasan perumahan dan kampung telah dinaiki air. Pada masa yang sama, ia telah menyebabkan kesesakan lalu lintas dan insiden tanah runtuh di Rumah Seri Kenangan yang menempatkan lebih 180 penghuni warga emas telah berlaku.

“Walaupun kejadian ini di luar jangkaan kita namun kita mampu mengurangkan kadar risiko dengan adanya pelan-pelan untuk mengurangkan kejadian tersebut terjadi dan kemalangan pada masa akan datang,” ujarnya lagi.

Muhammad Shaqib turut memetik satu laporan oleh Panel Antara Kerajaan Terhadap Perubahan Iklim (IPCC), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkenaan dengan kenaikan cuaca dunia kepada 1.5°C.

“Dalam laporan tersebut telah dikupaskan tentang cuaca dunia kita telah meningkat secara mendadak dan menyeru agar kerajaan menyediakan langkah untuk mengurangkan kadar pelepasan karbon.

“Sekiranya kadar ini bertambah, maka atmosfera kita memerangkap kadar karbon yang tinggi, menyebabkan kondisi bumi tidak stabil dan mengakibatkan fenomena alam yang luar jangkaan kita,” katanya.

Sehubungan itu gesanya, kini masanya pihak berkuasa tempatan dan kerajaan negeri bersama dengan rakyat mengambil kepentingan perubahan iklim dalam masyarakat ini secara drastik. – Media UMNO.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.