Zahid Harap Proses Beri Keterangan Kepada SPRM Selesai Hari Ini

PUTRAJAYA, 12 Okt – Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berharap proses memberi keterangannya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dipercayai berhubung dakwaan kes penyelewengan dana sebuah yayasan dapat diselesaikan hari ini.

“Saya harap begitulah,” katanya ringkas ketika ditanya pemberita sama ada proses mengambil keterangannya akan selesai sepenuhnya pada hari ini.

Ahmad Zahid hadir di SPRM berkenaan selama tiga hari berturut-turut bermula Rabu bagi membantu siasatan yang dijalankan suruhanjaya itu dipercayai melibatkan sebuah yayasan.

Proses mengambil keterangan Anggota Parlimen Bagan Datuk itu ditangguhkan bagi memberi ruang kepada solat Jumaat serta rehat.

“Saya akan sambung beri keterangan selepas solat Jumaat…saya akan balik (pulang ke SPRM), tidak lari,” katanya.

Beliau sekali lagi tiba di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada pukul 3.08 petang bagi menyambung keterangannya.
Terdahulu bekas timbalan perdana menteri itu tiba di SPRM pada pukul 9.18 pagi.

Ahmad Zahid menerusi catatan Twitter pada Isnin berkata beliau akan memberi kerjasama penuh kepada agensi berkenaan.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.