NGO Dakwa Laporan EIA Lebuh Raya Pan-Island Link 1 Pulau Pinang Cacat

GEORGE TOWN, 12 Okt – Sebuah badan bukan kerajaan (NGO) hari ini mendakwa Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) komprehensif setebal 1,200 muka surat bagi projek Lebuh Raya Pan-Island Link 1 (PIL1) yang dibina berdasarkan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP), mengandungi kecacatan.

Penang Forum, sebuah gabungan kumpulan masyarakat sivil berkaitan kepentingan awam telah menubuhkan satu pasukan terdiri daripada 31 profesional, termasuk 20 pemegang ijazah PhD dan Sarjana, yang telah mengambil masa sebulan untuk mengkaji semula laporan EIA lebuh raya tiga lorong sepanjang 19.5 km itu.

Seorang anggota jawatankuasanya, Dr Kaw Suan Pheng menekankan bahawa Laporan EIA tersebut tidak memberi cadangan penyelesaian yang mencukupi terhadap isu kos yang tinggi dan untung rugi projek itu.

Menurut Kaw, daripada laporan EIA PIL1 tersebut, kesan projek itu kepada alam sekitar dikategorikan sebagai tahap “sederhana hingga ke tinggi”, tetapi tiada perincian mengenai penyiasatan geoglogi dan hidrologi dikemukakan sebagai penilaian kepada faktor-faktor risiko dan keselamatan, selain amat kurang maklumat mengenai keselamatan pekerja dan risiko operasi lebuh raya merentasi kawasan penduduk berkepadatan tinggi.

“Tambahan pula, tiada siasatan dilakukan terhadap impak pencemaran udara dan bunyi kepada beribu-ribu sekolah dan kanak-kanak sekolah di kawasan yang berdekatan lebuh raya itu. Latar belakang dan ramalan indeks pencemaran udara juga telah diperkecilkan nilainya dan tidak realistik,” katanya pada sidang media di Woman’s Centre for Change cawangan Pulau Pinang di sini hari ini.

Seorang lagi anggota jawatankuasa berkenaan, Dr Lim Mah Hui menyokong pandangan Kaw dan berkata, 70 peratus daripada kesan rumah hijau adalah berpunca daripada jalan raya menurut “Intergovernmental Panel on Climate Change’s fifth assessment report (IPCC AR5)”.

Lim berkata tiada analisis kos dan faedah yang sempurna dijalankan mengenai kos semasa dan kos masa depan serta untung rugi projek dari segi ekonomi, alam sekitar, sosial, kesihatan dan kos-kos lain.

“Lapoan EIA berkenaan juga tidak memenuhi syarat-syarat Akta Kualiti Alam Sekeliling (EQA) 1974, yang mensyaratkan supaya penyelesaian alternatif dikaji atau dihuraikan sebagai justifikasi, yang hasilnya nanti akan memberi kesan paling sedikit terhadap alam sekitar,” kata beliau.

Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang adalah inisiatif kerajaan negeri melibatkan kos dianggarkan RM46 bilion, yang akan melibatkan pembinaan terowong bawah laut menyambungkan bahagian pulau dengan daratan, lebuh raya, transit aliran ringan (LRT), monorail selain penyambungan bas yang ekstensif antara bahagian pulau dan tanah besar, yang dananya bergantung kepada pembangunan hartanah atas tiga buah pulau buatan manusia yang dicadangkan, yang dikenali sebagai skim Penambakan Semula Pulau Pinang Selatan (PSRR). – Bernama


1 week ago