Akui Gagal Hapuskan Tol : Inilah Akibat Bercakap Tanpa Berfikir – Tajuddin

KUALA LUMPUR, 12 Okt – “Bercakap sebelum berfikir itulah jadinya. Dulu bila bercakap ikut sedap cakap, tidak fikir implikasinya.. lain kali fikir.. buat kajian dulu sebelum buat satu-satu kenyataan. Jangan ikut hati, sekarang sendiri menyesal,” bidas Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa pembinaan lebuh raya tanpa mengenakan kutipan tol tidak mungkin dapat diwujudkan.

Mahathir juga mendedahkan bahawa beliau sebenarnya tidak bersetuju dengan ikrar lebuh raya bebas tol yang terkandung dalam manifesto pilihan raya Pakatan Harapan (PH) malah manifesto itu diwujudkan tanpa memikirkan kemungkinan PH akan menjadi kerajaan.

Jelas Tajuddin kepada UMNO-Online, kenyataan Mahathir itu juga membuktikan bahawa PH sememangnya hanya pandai berjanji bulan dan bintang semata-mata untuk menipu rakyat dan memburukkan reputasi Barisan Nasional (BN).

“Sebab itu, semasa BN menjadi kerajaan, kita sentiasa berpijak di bumi yang nyata. Telah banyak kali kita ingatkan bahawa PH ketika itu hanya pandai menabur janji kerana bukan mereka yang menjadi kerajaan.

“… ini berbeza dengan BN yang tidak mahu menjadi populis kerana kita tahu kenyataan sebenar. Kalau kita berjanji tetapi kita tidak mampu menunaikan itu maknanya menipu. Kita bukan penipu seperti PH.

“Tapi sayangnya rakyat terlalu percaya kepada gula-gula yang ditaburkan oleh pembangkang ketika itu sehingga membuat pilihan yang salah pada pilihan raya yang lalu. Kini kebenaran terbukti juga,” ujar beliau.

Tambah Tajuddin, inilah yang terpaksa rakyat terima akibat terpedaya dengan fitnah PH sehingga menggulingkan sebuah kerajaan yang selama ini sentiasa menjaga kebajikan rakyat dan negara. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.