Langkah Kerajaan Jual Aset, Saham Khazanah Dan PNB Dipersoal


KUALA LUMPUR, 10 Okt- Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mempersoal langkah yang diambil kerajaan hari ini bagi mengurangkan hutang negara menerusi penjualan aset dan saham Khazanah Nasional Bhd dan Permodalan Nasional Bhd (PNB).

Beliau berkata, langkah tersebut adalah yang paling mudah untuk diambil, namun menyoal kembali adakah ia langkah yang bijak dan telah dikaji dengan betul?

“Kita patut mengimbangi kos berbanding kebaikan sebelum membuat sesuatu keputusan,” katanya menerusi laman media sosial Facebook hari ini.

Menurut Najib, hutang kerajaan kebanyakannya adalah dalam bentuk bon atau sukuk. Kadar faedah ke atas bon-bon tersebut adalah sekitar 3.6 peratus setahun.

Sementara purata kadar pertumbuhan aset dalam Khazanah ialah 9.6 peratus setahun manakala PNB ialah 9.2 peratus setahun, iaitu jauh lebih tinggi daripada kos faedah hutang.

Beliau memberi contoh: “Pada 2008, aset Khazanah ialah RM33.7 bilion. Jika kita jual keseluruhan aset Khazanah pada tahun itu, kita dapat mengurangkan hutang negara sebanyak RM33.7 bilion.

“Ia juga bermaksud kita akan mengurangkan beban faedah hutang sebanyak RM1.2 bilion setahun jika kadar riba ialah 3.6 peratus – iaitu penjimatan RM10.1 bilion untuk tempoh sembilan tahun sehingga akhir tahun 2017.

“Oleh kerana pada masa itu kita tidak jual aset Khazanah, asetnya meningkat dari RM33.7 bilion kepada RM115.7 bilion pada akhir  2017, iaitu keuntungan RM82 bilion.

“Pilihan mana yang lebih bijak? Keuntungan RM82 billion atau pun penjimatan RM10.1 bilion?,” soal Najib.

Beliau juga menyoal adakah langkah menjual aset negara hari ini seumpama menggadai masa depan negara bagi menampung langkah populis kerajaan hari ini.

Pada akhir 2008, beliau berkata, aset Khazanah meningkat daripada RM33.7 bilion kepada RM115.7 bilion pada akhir 2017 manakala aset PNB naik daripada RM120 bilion kepada RM279.2 bilion.

Tambah beliau, PNB juga menguruskan dana sendiri yang dipanggil ‘propriety funds’ selain daripada mengurus dana pencarum. Dana tersebut yang merupakan aset negara, telah meningkat daripada RM12 bilion pada akhir 2008 kepada RM43.9 bilion pada akhir 2017.

Najib juga bertegas bahawa hutang negara bukan berjumlah RM1 trilion. Malah angka tersebut juga tidak diberikan oleh agensi penarafan kredit antarabangsa, Bank Dunia dan Bank Negara Malaysia, katanya.

Menurutnya, kehilangan hasil kerajaan berjumlah RM40 bilion juga berikutan langkah populis seperti tempoh bebas cukai tiga bulan, pertukaran Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) kepada Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dan pengembalian subsidi pukal yang nyata banyak ketirisan.

“Apa yang saya risau ialah penjualan aset- dan tanah negara ini bukan untuk mengurangkan hutang tetapi untuk menampung kehilangan hasil RM40 bilion ini.

“Kita sama-sama tengok bajet yang akan datang ialah bajet lebihan ataupun bajet defisit. Jika defisit maksudnya, penjualan aset dan tanah ialah untuk menampung kehilangan hasil dan bukan untuk mengurangkan hutang,” tambahnya.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.