Tamatkan Kontrak MMC Gamuda : Apa Langkah Kerajaan Bela Nasib 20,000 Pekerja?

KUALA LUMPUR, 9 Okt – Sebelum ini Pakatan Harapan (PH) mencemuh Barisan Nasional (BN) kononnya projek kerajaan yang diberi kepada China menggunakan pekerja asing, namun apabila MMC-Gamuda syarikat tempatan yang menggaji lebih 60 peratus pekerja tempatan dibatalkan kontrak mereka, apakah jaminan kontraktor yang akan dilantik akan mengambil pekerja tempatan?

Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Shahril Sufian Hamdan membidas perkara tersebut lantaran Keputusan kerajaan melaksanakan semula tender kerja bawah tanah projek Mass Transit Line 2 (MRT2) yang membabitkan MMC Gamuda sebagai firma yang diberikan kontrak.

“Apakah langkah yang akan diambil bagi membela nasib pekerja yang bakal hilang mata pencarian apabila kerja-kerja pembinaan perlu diberhentikan susulan pembatalan kontrak ini?

“Harap-harap syarikat mana pun yang akan memenangi tender ini pada masa hadapan, mereka mengutamakan 20 ribu orang pekerja yang hilang pekerjaan ini lebih-lebih lagi pekerja tempatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, dilaporkan penamatan kontrak MMC Gamuda akan menjejaskan lebih 20 ribu tenaga kerja selain lebih dari 600 syarikat rantaian sokongan yang terbabit.

“Kalau Kerajaan boleh buat tindakan luar kelaziman membatalkan kontrak sewenang-wenangnya, Kerajaan juga boleh ambil tindakan luar kotak membela pekerja yang terkesan,” tegas beliau.

Dalam kenyataan semalam, MMC Gamuda memaklumkan penamatan kontrak menyebabkan kesulitan kepada sejumlah besar tenaga kerja mahir Malaysia dalam keadaan pasaran kerja yang lembap kini.

Ini adalah hasil daripada langkah kerajaan untuk mengurangkan kos perbelanjaan projek MRT2 bernilai hampir AS$14 billion (RM58.13 bilion) menyebabkan terdapat jurang perbelanjaan yang menggusarkan. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.