Pentas PD Satu Karya Wayang Kulit Kisah Dongeng Penglipur Lara


MARAN, 9 Okt – Terkesima. Demi kuasa politik, manusia sanggup melakukan apa sahaja hinggalah ke tahap melupakan dosa yang dicipta.

Tambah memualkan kata Ketua UMNO Bahagian Maran, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin sebagaimana dalam entri terbaharu di facebooknya hari ini, untuk kuasa juga satu dosa baru direka dan dicipta untuk mengisi ruang kebencian di mata rakyat.

Itulah yang dilontarkan Shahaniza apabila melihat aksi bakal Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri Ketujuh Tun Mahathir Mohamad yang sepentas dalam kempen pilihan raya kecil (PRK) Port Dickson malam tadi.

“Anwar Ibrahim dan Mahathir duduk sepentas selepas 20 tahun. Bukan setakat duduk tetapi bercanda mesra. Berkongsi kuasa dan juga rasa?

“Walaupun asasnya dunia politik itu dikatakan tiada istilah ‘permanent friends or enemies’ tetapi aksi dua figura ini memualkan saya.

“Kepada mereka yang menjadikan mereka idola pastinya peristiwa malam tadi sebagai satu kemuncak kepuasan meraikan kejayaan PRU (pilihan raya umum) yang lepas tetapi kepada saya, yang pernah juga satu ketika dulu mengkagumi kedua-duanya, bagai melihat satu karya wayang kulit kisah dongeng penglipur lara. Ada rasa nak ketawa,” sinis Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Sentul itu.

Sudah pasti rakyat akan menanti episod yang seterusnya, ujarnya, yang lahir dalam keluarga politik, membesar dan mendengar serta menyaksikan pelbagai peristiwa kisah politik negara hinggalah kini menjadi seorang ahli politik.

Sesi ceramah mega Pakatan Harapan (PH) di Port Dickson malam tadi menjadi medan bagi pemimpin-pemimpin PH berterus-terusan memburukkan Barisan Nasional (BN) serta pemimpinnya walaupun BN tidak bertanding di kerusi tersebut terutama memanipulasi hutang negara dan merekayasa isu 1MDB.

PRK kerusi Parlimen Port Dickson pada 13 Oktober ini menyaksikan pertandingan tujuh penjuru antara calon PH yang diwakili Anwar, 71; Pas, Leftenan Kolonel (B) Mohd. Nazri Mokhtar, 57 dan lima calon Bebas antaranya Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad, 69, dan bekas pembantu peribadi Anwar, Mohd. Saiful Bukhari Azlan, 33.

PRK Port Dickson diadakan setelah penyandang Datuk Danyal Balagopal Abdullah mengosongkan kerusi tersebut bagi memberi laluan kepada Anwar memenuhi cita-cita peribadi politiknya. – MediaUMNO.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.