MAIPs Terus Tumpu Kemajuan Umat Islam Perlis – Raja Muda Perlis

MUSCAT, Oman, 8 Okt – Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menitahkan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) agar terus berusaha keras memperkasakan kemajuan umat Islam Perlis berdasarkan peranan dan fungsi penubuhannya.

“MAIPs perlu mengupayakan segala potensi sedia ada bagi mempertingkatkan lagi mutu perkhidmatannya,” titah baginda selepas menyerahkan sumbangan MAIPs sebanyak RM15,000 untuk Tabung Ibnu Sabil sebelum berangkat pulang selepas mengetuai delegasi lawatan kerja MAIPs ke Oman, malam tadi.

Sumbangan tabung bagi kegunaan rakyat Malaysia yang dalam kesusahan di Oman itu disampaikan kepada Duta Besar Malaysia di Oman, Shahril Effendi Abd Ghany di Lapangan Terbang Antarabangsa Muscat, Oman.

Berangkat sama anakanda sulung baginda, Puteri Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail.

Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs Mohd Nazim Mohd Noor dan Kaunselor Penasihat di Kedutaan tersebut, Mohd Hairul Azmir Sidin turut hadir.

Selain itu, Tuanku Syed Faizuddin yang juga Yang Dipertua MAIPs, memaklumkan dua projek pembangunan MAIPs yang sedang giat dilaksanakan iaitu pembangunan Bangunan Wakaf Pusat Perkhidmatan Hemodialisis MAIPs serta pembinaan Bangunan MAIPs untuk Fakulti Al-Quran dan As-Sunnah Universiti Fatoni di Pattani, Thailand yang telah mencapai kemajuan 90 peratus akan dirasmikan oleh Raja Perlis sebelum akhir tahun ini.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.