Seluruh Kepimpinan UMNO Rakam Takziah Kepada Keluarga Allahyarham Tan Sri Hassan Azhari

KUALA LUMPUR, 6 Okt – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama seluruh kepimpinan parti merakamkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga tokoh agama Tan Sri Hassan Azhari, 90, yang meninggal dunia akibat kanser limfoma 5 petang di Hospital Kuala Lumpur.

Allahyarham adalah orang yang melaungkan azan semasa kemerdekaan negara Malaysia pada 31 Ogos 1957.

Allahyarham juga adalah pendidik terkenal dengan rancangan Muqaddam pada awal 1970-an di saluran RTM.

Selain itu, Allahyarham juga menerima penghargaan sebagai tokoh Melayu Terbilang daripada UMNO pada tahun 2014.

Tokoh agama, Tan Sri Hassan Azhari, 90, dilapor  meninggal dunia akibat kanser limfoma pada jam 5.07 petang tadi di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Memetik laporan, bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan yang juga anak kepada Allahyarham mengesahkan perkara itu.

Musa berkata, jenazah bapanya akan dibawa ke kediaman di Persiaran Keramat Hujung, di sini, sebelum dikebumikan.

Allahyarham turut melaungkan azan pada perasmian Masjid Negara pada tahun 1967, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Masjid Kapitan Keling, Pulau Pinang dan Masjid Sultan Omar Ali Saifuddin, Bandar Seri Begawan, Brunei.

Hassan juga adalah hakim Pertandingan Tilawah al-Quran yang paling lama berkhidmat dalam negara iaitu hampir 46 tahun.

Tiga anak lelakinya dikenali ramai iaitu Musa, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Klang Datuk Fuad Hassan dan pelakon terkenal, Datuk Jalaluddin Hassan.-MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.