Turun Ke Bawah Perjelas Hala Tuju Parti, Perkasa Saluran Media Alternatif – Tun Faisal


KUALA LUMPUR, 30 Sept – Wakil Wilayah Persekutuan, Tun Faisal Ismail Aziz berkata, UMNO harus segera memulihkan parti dan pemimpin parti perlu menunjukkan contoh yang baik selain memperkasakan saluran media alternatif dan gerakan media sosial parti untuk menyampaikan mesej yang sahih kepada rakyat.

Jelas beliau, Presiden dan kepimpinan Majlis Kerja Tertinggi UMNO juga perlu segera turun ke bawah untuk menjelaskan hala tuju parti.

“Muafakat politik perlu ada panduan yang jelas agar ia menguntungkan parti dan perjuangan memartabat agama, bangsa dan negara. Usaha membela rakyat perlu terus dilaksanakan dan nasib mangsa kezaliman kerajaan Pakatan Harapan (PH) perlu diperjuangkan.

“Selain itu kita juga harus sedar bahawa media-media yang mesra kepada UMNO semakin berkurang malah ada yang kini mejadi alat kepada kerajaan PH.

“Astro Awani misalnya telah menjadi lebih teruk daripada TV3, yang Pakatan sebut sebagai ‘TV3 suku’. Penipuan disiarkan termasuk dalam soal kiraan hutang negara. Dalam soal kiraan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), Astro Awani dan Bernama yang dulu dipandang tinggi pun, keluarkan kiraan yang salah mengenai SST dan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST),” ujar beliau ketika berucap menyokong usul dasar Presiden UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2018 (PAU 2018).

Tambah beliau, UMNO masih bernasib baik kerana masih ada media-media pro UMNO seperti Umno-Online, BNPportal.com, Agendadaily.com, Watanonline.com, Myfokus.com, Mynewshub.cc yang masih melaporkan berita-berita yang benar, walaupun terpaksa beroperasi tanpa sebarang bayaran dan atas kos sendiri.

Dalam ucapannya, Tun Faisal turut menyelar tindakan ahli yang meninggalkan parti disaat UMNO diuji dengan kekalahan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) Mei lalu.

“Meninggalkan parti sewaktu parti diuji bukan sifat terpuji, lebih-lebih lagi apabila memberi alasan yang dangkal serta menyelar UMNO dalam kenyataan semasa meninggalkan parti.

“Saya cuma nak beritahu, dalam keadaan ditekan oleh kerajaan yang zalim hari ini, tidak kisah siapapun Presiden, pemimpin yang kurang berdaya tahan akan tetap meninggalkan parti,” katanya. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.