Zahid Gariskan Tujuh Teras, 21 Langkah Hala Tuju Parti

KUALA LUMPUR, 29 Sept – Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam ucapan dasarnya sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2018 malam tadi menggariskan tujuh teras yang di dalamnya terkandung 21 langkah.

Menurut Ahmad Zahid langkah-langkah tersebut merupakan hala tuju parti supaya dapat mencapai kejayaan kembali berkuasa dengan syarat ianya perlu mendapat sokongan dan dokongan dari ahli.

“Tujuh teras ini adalah hasil daripada rumusan sewaktu kita mengadakan pemukiman baru-baru ini, membabitkan perkara-perkara seperti Perlembagaan, Keahlian, Struktur Parti, Perkaderan dan Latihan, Penerangan dan IT, Tawaran Baharu serta Program Tumpuan dan Institusi Dalaman UMNO.

“Rumusan pemukiman ini membuktikan bahawa proses membuat keputusan adalah dengan mengambil kira pendapat daripada bawah. Inilah antara proses syura yang sering saya utarakan. Keputusan dibuat secara bersama, dan sikap bertanggungjawab juga seharusnya secara bersama!,” katanya yang mendapat tepukan gemuruh dari perwakilan.


Tujuh teras yang dibentangkan oleh Ahmad Zahid adalah seperti membina keyakinan dan kepercayaan; menentang eksploitasi politik; memperkasakan parti; hak kuasa istimewa; muafakat politik; kerajaan menanti dan terakhir adalah pengorbanan jiwa raga.

Menyentuh Teras Pertama di dalamnya terangkum lima langkah antaranya memberi penekanan kepada semua ahli agar memahami sejelas-jelasnya idealisme perjuangan UMNO sebagaimana termaktub dalam Fasal 3 Perlembagaan UMNO serta prinsip ketaatan dan kesetiaan.

Manakala Teras Kedua berkenaan penentangan terhadap eksploitasi politik yang kini diamalkan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) seperti pencabulan konsep ‘Rule of Law’, pemungkiran janji-janji pilihan raya yang dicipta mereka sendiri, pembuangan kakitangan awam dan pegawai syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Begitu juga sikap kerajaan PH yang tidak mengambil serius isu kedaulatan negara dan perlakuan provokasi terhadap Institusi Beraja serta tindakan kerajaan yang sering membuat hubungan keruh dengan negara-negara lain.

Justeru menurut Ahmad Zahid, semuanya itu memungkinkan wujudnya situasi ‘hung parliament’ atau ‘parlimen tergantung’, di mana kerajaan boleh bertukar pada bila-bila masa.

Memperkasakan parti, yang merupakan Teras Ketiga menggariskan perkara berhubung kait hal ehwal keahlian seperti penurunan had umur keahlian dari 18 ke 16 tahun, memudahkan proses kemasukan dan pemutihan ahli serta menghadkan tempoh penggal presiden kepada dua penggal dan penubuhan sekolah politik.

Ahmad Zahid juga mencadangkan agar ditubuhkan ‘war-room’ untuk menjadi ‘command center’ di peringkat ibu pejabat dengan penglibatan Perhubungan Negeri dan Bahagian-bahagian secara konsisten.

Manakala diperkasakan lagi Jabatan Komunikasi Strategik bagi memastikan program yang mampu menjangkau kumpulan sasaran ke ahli akar umbi serta ahli-ahli UMNO bergerak aktif menggunakan teknologi maklumat dalam menyebarluas maklumat dan menangkis setiap tohmahan.

Menyentuh mengenai Hak Kuasa Istimewa, Teras Keempat, Presiden menjelaskan bahawa peranan Badan Perhubungan UMNO Negeri harus diberikan kuasa-kuasa tertentu untuk memberi lebih ruang kepada mereka membuat keputusan melibatkan jentera, pengurusan dan hal-ehwal disiplin parti serta melakukan penyelarasan aktiviti ke akar umbi dalam usaha merakyatkan parti.

Begitu juga dengan hak-hak rakyat Malaysia Timur seperti Perjanjian Penubuhan Malaysia 1963 (MA63), pemberian autonomi kepada UMNO Sabah dalam aspek khusus berpandukan kepada Perlembagaan dan Peraturan Parti.

Muafakat politik, yang merupakan Teras Kelima menetapkan beberapa pendirian parti atas semangat ta’awun dalam Gagasan Pembangkang selain menjenamakan semula Barisan Nasional bagi membina keyakinan rakyat.

Teras seterusnya adalah berkaitan Kerajaan Menanti. Ini dapat dilihat UMNO merupakan sebuah parti paling dominan berdasarkan keputusan PRU-14, ditambah pula dengan kegagalan kerajaan menunaikan janji manifesto dan beberapa dasar ‘flip-flop’ telah membangkitkan kemarahan rakyat, mampu memberikan harapan cerah kepada UMNO untuk mendapat kembali kepercayaan rakyat.

Di samping itu juga, parti mewujudkan empat kluster bagi memastikan prestasi kerajaan hari ini dipantau dengan teliti.

Fungsi dan tugas jawatankuasa ini adalah seakan-akan ‘kabinet bayangan’ iaitu, pertama: Jabatan Perdana Menteri, Perundangan, Sumber Manusia dan Keselamatan, kedua: Kewangan, Ekonomi dan Industri, ketiga: Pendidikan, Sosial dan Budaya dan kluster terakhir adalah Infrastruktur, Teknologi dan Kesihatan.

Manakala Pengorbanan Jiwa Raga merupakan Teras Terakhir yang digariskan oleh Ahmad Zahid iaitu semangat kesukarelaan yang perlu disuburkan dan dipertanggungjawabkan kepada sayap Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO bagi menyentuh perkara yang berkaitan permasalahan rakyat terutama yang berkait rapat dengan kehidupan seharian.

Presiden parti juga bersetuju dengan beberapa langkah yang dicadangkan oleh setiap ketua-ketua sayap pergerakan antaranya seperti penubuhan pasukan prihatin interaktif, penjenamaan semula Pemuda dan mendekati mahasiswa agar mereka turut memahami dan menghayati perjuangan parti. – Media UMNO.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.