Perwakilan Tangkis Persepsi Liar ‘UMNO Sudah Mati’

KUALA LUMPUR 29 Sept. – Ahli Perwakilan UMNO menolak sekeras-kerasnya persepsi liar masyarakat bahawa UMNO sudah mati.

Buktinya, walaupun parti itu dilanda pelbagai kontroversi dan kejatuhan yang amat teruk, ahlinya masih berdiri dan kekal bersama demi masa hadapan parti tersebut.

Bagi Ketua Puteri UMNO cawangan Tangga Batu, Shalina Dolmat, UMNO belum mati kerana parti itu disifatkan masih lagi berada dalam perjuangan yang sebenar.

“Kita masih lagi meneruskan perjuangan yang dibawa selama ini untuk anak muda serta anak bangsa.

“Sebagai orang Melayu serta orang Islam, kita juga harus menegakkan ketuanan Melayu, agama Islam serta kuasa raja-raja Melayu demi kemakmuran Malaysia,” katanya.

Shalina berkata demikian sewaktu menghadiri perasmian serentak persidangan sayap-sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Dalam pada itu, Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Mohamed Nizham Abdullah Hamidi berkata, orang melihat UMNO sebagai parti yang kononnya akan terkubur.

“Tetapi kita jangan lupa pada tahun 2004. Ketika itu PKR cuma ada satu kerusi dan mereka berkata parti itu akan terkubur namun lihatlah sekarang pada tahun 2018, mereka menjadi semakin kuat dan membentuk sebagai kerajaan Malaysia.

“Namun begitu, perkara ini tidak perlu dirisaukan kerana UMNO bukan sahaja parti yang masih kuat malah merupakan satu-satunya parti tunggal yang memiliki 49 ahli parlimen,” katanya.

Sementara itu, Ketua Wanita UMNO cawangan Gerik, Zaiton Md Amin berkata, dia tidak akan sesekali meninggalkan parti tersebut walau apa pun yang akan terjadi.

“Saya telah lama berjuang dari usia 18 tahun lagi sampailah UMNO kalah baru-baru ini.

“Tetapi semangat itu tidak akan luntur. Walaupun jika ditakdirkan UMNO tiada suatu hari nanti, saya tetap tidak akan tinggalkan UMNO,” katanya. – UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.