Bahang PAU 2018 Semakin Terasa, Gerai Jualan Bermula Esok

KUALA LUMPUR, 26 Sept – Lokasi Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) sudah mula terasa bahang kemeriahan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) bagi tahun ini apabila kelihatan tenaga kerja mula sibuk memasang hiasan di tiang-tiang utama, poster grafik, sepanduk dan bendera di segenap pelosok bangunan serta kawasan sekitar bagi menanti kehadiran perwakilan, ahli, penyokong serta orang ramai.

Hasil tinjauan UMNO Online mendapati, selain kakitangan Ibu Pejabat UMNO yang sibuk membuat persiapan urusan dokumentasi bahan persidangan, warga kerja yang terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung juga semuanya dalam proses penyempurnaan tugasan di peringkat akhir bagi melangsungkan persidangan tahunan parti orang Melayu terbesar di negara ini.

Tidak ketinggalan, seperti kelaziman seperti tahun-tahun sebelum ini beratus gerai jualan turut mewarnai PAU, yang menyajikan pelbagai produk jualan seperti tekstil, produk kesihatan, bahan bacaan, usahawan industri kecil dan sederhana serta dalam talian, makanan dan minuman ringan serta lain-lain lagi di aras dua PWTC.

Dan apa yang mencuri tumpuan adalah gelagat para peniaga di karnival jualan tersebut yang akan bermula esok, Khamis dan berakhir Ahad ini dengan pelbagai gaya dalam usaha mereka melariskan jualan serta menarik pengunjung menyemarakkan kitaran ekonomi.

Tidak dilupakan juga, ruang legar di hadapan skrin besar di aras dua pasti akan sesak dipenuhi ahli, penyokong dan pengunjung terutama kaum wanita dari seluruh negara yang saban tahun tanpa jemu begitu bersemangat menonton serta mendengar setiap perbahasan dari wakil-wakil negeri, bagi mendapatkan informasi yang berguna khususnya tentang hala tuju dan perjuangan UMNO dalam mendepani segala cabaran politik yang mendatang.

Hujung minggu lalu, raptai penuh acara menaikkan bendera Sang Saka Bangsa telah diadakan di Plaza Merdeka, di bawah pemantauan Setiausaha Kerja UMNO Datuk Mohd Sumali Reduan yang dimulakan dengan upacara menaikkan bendera sayap pergerakan diiringi lagu rasmi masing-masing dan seterusnya disusuli dengan lagu parti ‘Bersatu, Bersetia, Berkhidmat’.

PAU 2018 akan berlangsung bermula 28 sehingga 30 September ini dengan anggaran seramai 5,739 perwakilan dijadualkan menghadiri perhimpunan itu. – MediaUMNO.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.