Sultan Johor Murka Ahli Majlis Guna Bahasa Cina Dalam Surat Rasmi

KUALA LUMPUR 25 Sept. – Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini murka dengan dengan tindakan seorang Ahli Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) yang menggunakan bahasa Cina dalam urusan surat rasmi MBIP.

SURAT rasmi Ahli Majlis MBIP yang tular di media sosial.

Baginda bertitah apa sahaja surat rasmi sama ada membabitkan kerajaan negeri mahu pun pihak berkuasa tempatan (PBT) di Johor seharusnya ditulis dalam Bahasa Melayu.

“Apa sahaja urusan surat menyurat membabitkan kerajaan negeri atau Ahli Majlis PBT semuanya mesti dalam Bahasa Melayu kerana ia menggunakan kepala surat rasmi kerajaan negeri walaupun ia berkaitan pemakluman mesyuarat.

“Bila masa dalam negeri Johor surat rasmi ditulis dalam dua bahasa,” titah Baginda kepada Royal Press Office (RPO) di Istana Pasir Pelangi, Johor Bahru hari ini.

Baginda bertitah demikian bagi mengulas tindakan seorang Ahli Majlis MBIP menggunakan Bahasa Cina dalam surat rasmi urusan PBT bagi memaklumkan mengenai sebuah majlis dialog dan ia turut viral dalam laman media sosial.

Tuanku Sultan Ibrahim bertitah semua pihak harus menghormati penggunaan Bahasa Melayu dalam sebarang urusan surat rasmi berkaitan kerajaan negeri mahu pun PBT yang digunapakai sejak dahulu di Johor.

“Saya sarankan kepada Ahli Majlis, jika tidak tahu buat kerja baik letak jawatan sahaja. Ini amaran saya, jangan pisang berbuah dua kali,” titah Baginda yang dikongsi di dalam hantaran terbaharu di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Surat rasmi Ahli Majlis Bandaraya Iskandar Puteri dalam bahasa Cina itu tular di media sosial. Rata-rata netizen beranggapan surat rasmi tersebut yang tidak menghormati bahasa kebangsaan sebagai tidak wajar.-UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.