Wakil Rakyat BN Perlis Tak Berganjak, Dakwa Bakal Sertai Bersatu Satu Pembohongan Besar

ARAU 24 Sept. – Kesemua sembilan wakil rakyat Barisan Nasional (BN) negeri ini menyatakan pendirian tidak akan berganjak daripada parti itu sekali gus menafikan dakwaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bahawa terdapat dalam kalangan mereka bakal keluar parti dan menyertai Pakatan Harapan seterusnya membentuk kerajaan negeri.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Santan merangkap Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri, Azizan Sulaiman yang mewakili kesemua wakil rakyat tersebut menegaskan, dakwaan Bersatu bahawa terdapat dalam kalangan pemimpin dan wakit rakyat menyatakan hasrat menyertai parti itu adalah satu pembohongan besar dan tidak berasas.

Katanya, pihaknya tidak pernah mengadakan perbincangan dengan Bersatu dalam soal tersebut jauh sekali untuk bertemu pemimpin mereka bagi menyatakan hasrat keluar parti.

“Kita akan terus kekal bersama UMNO dan BN dan sama sekali tidak akan mengkhianati amanah rakyat yang telah memberi kepercayaan kepada parti itu.

“Dalam masa sama, kita juga menyokong penuh kepemimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man,” katanya hari ini.

Semalam Setiausaha Bersatu negeri, Wan Saiful Wan Jan mendedahkan terdapat pemimpin dan wakil rakyat BN menyatakan hasrat untuk keluar parti dan menyertai Pakatan Harapan.

Wan Saiful dilaporkan berkata, pemimpin-pemimpin terbabit telah mengadakan pertemuan dengan beliau bagi menyatakan hasrat tersebut.

Sebelum itu, Azlan yang juga Ketua UMNO Bahagian Kangar turut menafikan sekeras-kerasnya dakwaan wakil rakyat BN bakal keluar parti selain menyifatkan perkara tersebut sebagai tidak berasas sama sekali.

Sementara itu, ADUN Kayang, Hamizan Hassan berkata, beliau dan wakil-wakil rakyat BN lain tidak pernah berbincang dan terlintas di fikiran untuk keluar parti.

“Desas-desus seperti ini sebenarnya hanya berlaku di kedai-kedai kopi dan daripada pemain-pemain politik sahaja,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
ADUN Pauh, Roziena Ahmad pula berkata, beliau dan wakil-wakil rakyat lain menang atas tiket BN dalam pilihan raya baru-baru ini dan tidak mungkin mereka akan keluar parti untuk menyertai Pakatan Harapan membentuk kerajaan baharu.

“Saya tegaskan, akan terus kekal di dalam BN dan begitu juga dengan rakan-rakan lain. Kami selesa berkhidmat di dalam BN meskipun dalam keadaan serba kekurangan kerana bukan lagi menjadi kerajaan di peringkat Pusat,” katanya. – UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.