Sejarah Bukti UMNO Sangat Terbuka Kepada Kepelbagaian Kaum – Annuar

KUALA LUMPUR, 24 Sept – Setiausaha Agung UMNO Tan Sri Annuar Musa membidas sindrom yang wujud mutahir ini iaitu cuba menggambarkan bahawa UMNO adalah sebuah parti yang hanya membela satu kaum sahaja iaitu Melayu.

Jelas beliau, UMNO telah banyak disalah ertikan sehingga menjadi mangsa kepada kempen-kempen untuk memberi wajah negatif kepada UMNO walau sebenarnya sejarah perjuangan UMNO telah membuktikan bahawa penubuhan parti ini adalah sangat berteraskan kepelbagaian kaum.

“Penubuhan UMNO itu sendiri menjadi bukti ianya sangat terbuka kepada kepelbagaian kaum. Negara ini terbina sebagaimana ada pada hari ini secara kolektif dengan menghidupkan ‘nation building’ berdasarkan kepelbagaian kaum.

“Jadi, bagi memperkasakan UMNO, kita akan melakukan penambahan dan peningkatan ahli bergabung dan ini akan menjadi teras parti.

“Kaedah ini adalah untuk memperhebatkan peranan UMNO melalui peningkatan keahlian bergabung dan ia akan dipertimbangkan oleh Ahli Majlis Tertingi (MT) dari semasa ke semasa,” ujar beliau dalam sidang media selepas perjumpaan tertutup bersama ahli bergabung UMNO Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA).

Tambah beliau, perjumpaan bersama KIMMA ini adalah untuk memberi isyarat awal kepada rakan-rakan di luar sana termasuk NGO yang boleh menerima dasar dan bersedia bekerjasama dengan UMNO sebagai satu usaha mentransformasikan parti bukan sahaja untuk memperkukuhkan UMNO tetapi juga untuk memperkuatkan lagi pembangkang.

Pada masa yang sama keahlian biasa akan melalui proses pemutihan.

“Ini adalah realiti iaitu wujud sedikit sebanyak gerakan keluar dan masuk kerana lanskap politik yang berubah di negara kita sekarang ini,” jelas beliau.

Untuk rekod, menerusi Perlembagaan UMNO, Fasal 4, memperuntukkan dua jenis keahlian iaitu ahli biasa dan ahli bergabung.

Ahli biasa ialah warganegara Malaysia yang berbangsa Melayu dan Bumiputera yang berusia 18 tahun ke atas dan ahli bergabung ialah sebuah pertubuhan politik yang bersetuju bekerjasama dengan UMNO dan menerima syarat-syarat yang ditetapkan Majlis Tertinggi.

KIMMA telah didaftarkan sebagai parti politik pada tahun 1976 dan merupakan ahli gabungan UMNO bermula 27 Ogos 2010. Presidennya ialah Datuk Syed Ibrahim Kader dan keahlian KIMMA terkini ialah 171,405 orang.

KIMMA memperjuangkan kepentingan masyarakat India Muslim dalam bidang politik, agama, sosial, ekonomi dan pendidikan. Sejak penubuhannya, KIMMA mempunyai 12 buah pejabat di 12 buah negeri di Malaysia. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.