UMNO Mampu Mengorak Langkah Dan Terus Bersemangat Harungi Ombak Badai


KUALA LUMPUR, 21 Sept – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub percaya UMNO mampu mengharungi badai dan ombak besar yang melanda parti berkenaan untuk terus bergerak ke depan.

Mengumpamakan UMNO seperti sebuah bahtera yang mampu berlabuh di mana-mana, Jazlan yang juga Ahli Parlimen Machang penuh yakin dengan kemampuan serta kematangan politik yang ada pada barisan kepimpinan parti yang diterajui Datuk Seri Dr Ahamd Zahid Hamidi.

“Walaupun kita bahtera yang besar tetapi untuk kesekian kalinya, seketika ini kita kurang bernasib baik kerana tidak mempunyai pelabuhan untuk kita turunkan sauh dan kita turunkan layar untuk kita berlabuh. Ini sahaja yang membezakan antara kita dengan mereka tetapi mereka lupa.

“Sebuah bahtera yang besar boleh berlabuh di mana-mana…sebuah bahtera yang besar mampu untuk mengharungi badai dan gelombang tidak kira musim apa sekalipun. Apatah lagi kita cukup yakin dan percaya bahawa melalui proses demi proses ianya adalah untuk kepentingan bersama,” katanya.

Beliau seterusnya memberikan jaminan bahawa mereka tidak akan berundur sebaliknya semangat yang ada pada hari ini cukup baik dan akan melaksanakan segala agenda parti yang akan diputuskan oleh pucuk pimpinan.

“Kita beri jaminan tidak akan mengundur…mengundur bukan sama sekali malah kita merasakan bahwa semangat yang ada pada kita hari ini adalah jauh lebih hebat. Walaupun kita kalah kita kena ingat ini adalah ujian daripada Allah swt.

“UMNO Kelantan yakin kematangan yang ada pada kepimpinan Datuk Seri Zahid dan barisan kepimpinan lain  ia akan membuat perkiraan yang berhemah dan bukannya untuk kepentingan sendiri.

“Namun ianya untuk kepentingan bangsa dan tanah air. Kita serahkan keyakinan kepada Presiden untuk menentukan hala tuju perjuangan. Kita juga berharap akan diadakan pertemuan yang lebih besar dengan pemimpin di akar umbi di dalam masa terdekat,” ujarnya. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.