Orang Melayu Tidak Ada Pilihan, Perlu Sokong UMNO dan Pas – Sharkar


KUALA LUMPUR, 21 Sept – Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Sharkar Shamsuddin berkata, orang Melayu tidak ada pilihan selain daripada menyokong kerjasama dua buah parti terbesar Melayu, iaitu UMNO dan Pas dalam usaha untuk terus memelihara hak-hak istimewa orang Melayu, Islam sebagai agama persekutuan dan apa juga perkara yang telah dipersetujui melalui sosial kontrak yang telah termeratai sebelum merdeka.

Ini memandangkan menurut beliau, apabila kerajaan Pakatan Harapan mengambil alih tampuk pentadbiran negara, timbulnya desakan-desakan yang cuba untuk menidakkan hak-hak istimewa orang Melayu, Islam sebagai agama persekutuan dan juga Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang termaktub di dalam perlembagaan, di mana menimbulkan keresahan dan kegelisahan di kalangan orang Melayu di negara ini.

“Kita tahu ada pihak yang sengaja mempertikaikan perkara ini untuk melihat sejauh mana sensitiviti orang Melayu dalam  isu hak istimewa bangsa Melayu, isu Islam dan juga isu bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, yang mana perkara ini adalah perkara yang termaktub di dalam perlembagaan.

“Cubaan-cubaan seperti ini sebenarnya telah menimbulkan kerisauan dan kegusaran di kalangan orang Melayu yang majoritinya merasa tidak senang dengan sikap sesetengah pihak, termasuk pendirian kerajaan yang dilihat tidak memihak kepada orang Melayu di negara ini.

“Keadaan ini menjadi lebih buruk apatah lagi apabila kerajaan Pakatan Harapan dengan jelas gagal untuk menunaikan janji-janji mereka yang telah mereka muatkan di dalam manifesto mereka sebelum PRU ke 14 yang lalu,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi ahli panel dalam program diskusi U3.0 yang bersiaran secara langsung melalui medium facebook UMNO Online.

Justeru, kata beliau lagi, orang Melayu hari ini tidak ada pilihan lain selain daripada menyokong segala bentuk kerjasama politik yang dilakukan oleh UMNO dan Pas dalam situasi politik negara hari ini, untuk menjamin Islam dan  segala hak-hak istimewa orang Melayu terus terpelihara.

“Jadi jelas pada hari ini, orang Melayu tidak ada pilihan lain daripada menyokong usaha perpaduan antara UMNO dan Pas. Kalau dulu sebagai contoh ketika berlakunya Malayan Union, orang Melayu juga tidak ada pilihan lain selain daripada bergabung untuk memelihara hak-hak orang Melayu dan Islam.

“Saya lihat hari ini, sejarah yang berlaku pada tahun 1946 dulu kini kembali berulang pada hari ini dan saya yakin, insyaAllah sekiranya orang Melayu menyokong perpaduan dan kerjasama politik yang berlaku di antara UMNO dan Pas hari ini, maka kekuatan politik Melayu akan kembali kukuh dan kuat di dalam negara ini,” ujarnya.

Dalam usaha untuk menjadi perpaduan di antara dua parti terbesar orang Melayu ini berjalan lancar dan kukuh, maka sudah tentulah ianya akan mengambil masa setelah hampir 61 tahun dua buah parti ini bermusuh dalam soal politik.

“Bagaimanapun kerjasama UMNO dan Pas dilihat bermula dengan baik seperti yang dapat kita lihat dalam dua PRK di Sungai Kandis dan Seri Setia, di mana UMNO dan Pas saling bertolak ansur dan bantu membantu di antara satu sama lain.

“Bahkan, di dalam muktamar Pas baru-baru ini, Presiden UMNO juga telah dijemput untuk bersama-sama di dalam muktamar dan InsyaAllah UMNO juga akan menjemput Presiden dan pimpinan tertinggi Pas untuk hadir bersama di dalam Perhimpunan Agung UMNO pada Oktober ini.

“Dalam masa lima tahun ini, sebelum PRU ke-15, kita mempunyai masa yang banyak untuk menjadikan perpaduan dan kerjasama politik ini bertambah kukuh dengan sokongan majoriti orang Melayu di negara ini.

“Insya-Allah, kita boleh mencuba sedaya upaya untuk mempastikan agar kesefahaman ini dapat diteruskan setelah 61 tahun UMNO dan Pas bermusuh. Sudah tentulah, untuk mendapat persefahaman bukan sahaja di kalangan pimpinan atasan, termasuk jugalah penyokong dan ahli di peringkat akar umbi akan mengambil masa,” ujarnya.-MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.