PAU 2018 : UMNO Jemput Rakan-Rakan Parti Pembangkang Termasuk NGO

KUALA LUMPUR, 20 Sept – Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata parti berkenaan telah menyampaikan jemputan kepada parti-parti pembangkang di dalam negara ini termasuk Pas dan parti di Sarawak untuk menghadiri Perhimpunan Agung UMNO 2018.

Menurut beliau jemputan tersebut selain daripada rakan-rakan komponen Barisan Nasional (BN) seperti kebiasaan sebelum ini, Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO) juga termasuklah ahli bersekutu turut dijemput pada perhimpunan yang akan berlangsung pada 28 hingga 30 September depan.

“Sepertimana parti di Sarawak, mereka kerajaan di negeri berkenaan tetapi tidak menjadi kerajaan di peringkat persekutuan. Mereka juga dijemput dan sedang menungu pengesahan kehadiran dan ini termasuklah jemputan yang telah kita sampaikan kepada Pas.

“Pas secara ‘verbalnya’ mengesahkan akan hadir di persidangan sayap agung sayap parti dan juga perhimpunan agung UMNO. Jangan ada kerisauan berbaik-baiknya UMNO dengan Pas dan tidak perlu merisaukan sesiapa.

“Ini menggambarkan ada satu kesedaran di kalangan parti pembangkang bahawa untuk menjadi pembangkang yang efektif, saf pembangkang mestilah bekerjasama antara satu dengan yang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Perhimpunan Agung UMNO 2018 yang diadakan di Ibu Pejabatnya, Menara Dato Onn, di sini, hari ini.

Menjawab soalan apakah mantan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak dijemput ke Perhimpunan Agung UMNO kali ini, Annuar menegaskan Najib merupakan perwakilan kerana beliau adalah Ketua UMNO bahagian Pekan.

“Najib adalah Ketua UMNO Pekan dan beliau secara automatik adalah perwakilan. Tidak buat jemputan pun memang perwakilan dan Tun Abdullah Ahmad Badawi kita telah sampaikan jemputan dan berharap beliau sihat dan berkesempatan untuk bersama-sama,” katanya. – MediaUMNO

 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.