Jatuh Bangun UMNO Terletak Pada Kesepaduan, Kesatuan Pemimpin Dan Seluruh Ahli


KUALA LUMPUR, 20 Sept – Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah menyeru ahli dan kepimpinan parti agar menggemblengkan tenaga, daya fikir dan usaha untuk membersihkan nama UMNO dan memulihkan maruah parti serta tidak hanya meletakkan usaha itu hanya terhadap kepimpinan tertinggi parti sahaja.

Ini kerana menurut beliau, sama ada UMNO akan kembali kukuh, kuat serta berjaya meyakinkan semula orang-orang Melayu di negara ini bahawa segala pertuduhan dan dakwaan terhadap UMNO selama ini adalah fitnah semata-mata, ia adalah dengan kerjasama dan usaha ahli dan kepimpinan UMNO di seluruh negara.

“Pimpinan dan ahli UMNO di semua peringkat diharapkan untuk bersama Presiden UMNO serta pimpinan tertinggi parti di peringkat pusat atau negeri ketika ini, dalam usaha memastikan UMNO dapat bangkit semula. Ini penting apatah lagi UMNO sedang berhadapan cabaran besar dalam sejarah politiknya ketika ini.

“Sebab itu saya merasakan bahawa sama ada UMNO bangkit semula atau tidak, ia bergantung kepada kita semua. Ketika ini pelbagai perkara sedang dilakukan oleh pimpinan parti. Namun ia akan sukar jika kita letakkan sepenuhnya kepada satu pihak sahaja.

“Sebaiknya semua kita mesti sama-sama memainkan peranan di kedudukan masing- masing. Semua ini penting jika kita mahu UMNO yang mewakili suara orang Melayu kembali memegang kuasa politik di negara ini semula,” tegasnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Shamsul, ketika ini UMNO sedang bersiap untuk melaksanakan Perhimpunan Agung UMNO 2018 pada penghujung bulan ini dan perhimpunan ini, bukan di suasana sebagaimana UMNO ketika menjadi sebuah kerajaan.

“Pastinya Presiden UMNO akan menyampaikan amanat penting dalam ucapan dasar beliau. Saya percaya, pelbagai pihak yang menanti dan ingin mendapat gambaran jelas apakah hala tuju parti akan menerima jawapannya ketika perhimpunaan ini.

“Justeru itu, inilah ruang terbaik beliau untuk menyatakan ke mana arah haluan parti dan perjuangan kita di perhimpunan rasmi parti nanti. Saya harap kita memberikan peluang kepada Presiden dan pucuk pimpinan UMNO untuk melakukannya,” jelasnya,

Sementara itu, beliau juga mengingatkan bahawa ada usaha-usaha pihak tertentu sedang dilakukan untuk terus memecahbelahkan pimpinan serta parti dan perkara ini bukan hanya berlaku di peringkat kepimpinan sahaja bahkan termasuk akar umbi parti.

“Oleh itu, kita jangan terperangkap dengan strategi yang mereka lakukan. Apa yang penting ketika ini, kita mesti letakkan kepercayaan kepada pimpinan parti dan bersatu dalam apa keadaan sekalipun. Ini penting untuk kebaikan UMNO secara keseluruhannya,” ujarnya.-MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.