Dukacita Tindakan Mustapha, Anifah, UMNO Akan Ambil Langkah Pembetulan Segera – Mohamad


KUALA LUMPUR, 19 Sept – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata tindakan Ahli Parlimen Jeli, Datuk  Seri Mustapha Mohamed dan Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Seri Anifah Aman meninggalkan parti  sudah pasti khabar yang mendukacitakan.

Menurut beliau mereka adalah tokoh yang disegani, berkebolehan selain terbukti keupayaan dalam memimpin dan berkhidmat malah jasa serta sumbangan mereka kepada UMNO dan negara adalah sesuatu yang tidak dapat dinafikan.

“Kita amat berterima kasih dan menghargai segala jasa dan sumbangan tersebut. Namun begitu, kini mereka memilih haluan berbeza dan memutuskan untuk meninggalkan UMNO dan perjuangannya. Saya yakin, ini adalah satu keputusan yang tidak mudah kepada semua.

”Kepimpinan UMNO, khususnya Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO amat prihatin dengan perkembangan ini.  Saya turut mengakui bahawa, sejak 4 bulan yang lepas proses membaik pulih UMNO pasca PRU-14 dan penetapan haluan yang jelas untuk parti berjalan dengan sedikit perlahan dan tidak serancak atau radikal seperti yang diharapkan oleh semua pihak”, katanya dalam satu kenyataan kepada UMNO-Online, di sini, hari ini..

Oleh itu jelas beliau keadaan ini mengundang rasa tidak selesa dan mewujudkan satu ketidakpastian yang merugikan semua pihak.

“Justeru, saya ingin tegaskan bahawa perkara ini akan diberikan perhatian dan penekanan yang serius selepas ini demi memastikan UMNO tidak kelihatan sebagai parti tanpa haluan atau tersasar dari landasan perjuangannya,” ujarnya.

Malah tambah beliau pihaknya percaya wujud keperluan mendesak untuk agenda pemulihan dan hala tuju parti dikongsikan dengan semua dalam tempoh yang segera.

“Perkara ini akan menjadi pertanggungjawaban saya, MKT dan Presiden parti untuk dilakukan dengan secepat mungkin.

“Saya amat berharap segenap ahli, pendukung dan kepimpinan UMNO agar terus memberi sokongan penuh kepada parti, khususnya dalam tempoh yang mencabar ini. Semoga usaha kita memulihkan UMNO dan kewibawaannya akan berjalan lancar dan UMNO kembali diyakini dan menjadi pilihan, insya-Allah,” ujarnya.-MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.