Warkah Buat Tan Sri Muhyiddin

Saya doakan Tan Sri senantiasa dalam keadaan baik. Semoga Allah SWT memberikan keafiatan dan kesihatan, agar Tan Sri dapat segera kembali bertugas untuk bangsa dan tanahair.

Sebelum saya teruskan, suka saya untuk memetik hikmah Imam Al-Ghazali, daripada karyanya yang bertajuk al-Arba’in fi Usul al-Din.

Beliau telah menyenaraikan 10 sifat mahmudah (baik) dan 10 sifat mazmumah (tidak baik) yang selalu ada pada manusia.

Antara sifat-sifat mazmumah tersebut adalah sifat bangga diri, iaitu menyangkakan diri lebih sempurna dan diri orang lain tidak berupaya melakukan sebagaimana yang dia lakukan. Maka timbullah perasaan menghina dan memperkecil-kecilkan sesama manusia, selain lupa bahawa tiap-tiap sesuatu itu ada kelebihannya.

Minggu lepas, dalam sebuah wawancara, Tan Sri telah membuat kenyataan bahawa UMNO telah musnah. Dan kerana itulah Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM) ditubuhkan.

“Ada lagi PAU (Perhimpunan Agung Umno)? Saya fikir dah habis tapau.”

“Parti yang tunggang-langgang, masuk longkang, dah hancur. Sepatutnya sudah sampai masa untuk orang Melayu memikirkan bahawa Umno sudah tidak wujud lagi, kita tinggalkan, tak ada maknanya,” ujar Tan Sri sewaktu diwawancara oleh akhbar Sinar Harian

Saya terpanggil untuk memberikan pandangan saya.

Wahai Tan Sri Muhyiddin,

Saya orang parti. Saya tidak pernah kenal wadah yang lain dalam perjuangan saya, kecuali UMNO. Dalam susutnya pengaruh UMNO pasca PRU 14, saya dan jutaan lagi orang Melayu memilih dengan penuh sedar untuk kekal bersetia dengan UMNO.

Hakikatnya, UMNO masih parti terbesar di Parlimen. UMNO masih mendapat kepercayaan sebahagian besar orang Melayu. Malah UMNO jauh lebih dominan, kuat dan berpengaruh daripada Bersatu, walaupun sokongan terhadapnya nyata semakin susut.

Cercalah. Perlilah. Katakanlah apa jua, insya-Allah kami akan terus menghidupkan UMNO. Kerana bagi kami, UMNO ini bukan sekadar sebuah parti.

Ia adalah gerakan kebaikan untuk bangsa Melayu. Ia adalah sebuah institusi politik Melayu nan satu-satunya. Apatah lagi pada orang Johor seperti saya. UMNO, bagi orang Melayu Johor, sudah menjadi sebahagian daripada nyawanya.

Kerana itu, ia akan kami pertahan, kami rawat dan kami pulihkan. Dengan bersungguh-sungguh dan ikhlas.

Pastinya sebahagian besar daripada kami di dalam UMNO sangat mengerti isyarat yang telah rakyat Malaysia berikan pada pilihan raya yang lepas. Kami bukan orang yang tidak boleh berfikir. Tetapi, masakan kami hanya akan pasrah dan berpeluk tubuh, membiarkan UMNO terhukum sedemikian dan terus luput dari persada politik Malaysia?

Wahai Tan Sri Muhyiddin,

Insya-Allah, dengan semangat ini, kami akan pastikan UMNO tidak akan musnah. UMNO ini tidak akan kami tinggalkan, kami cerca dan kami buang seperti yang Tan Sri lakukan kepadanya.

Kami sedar UMNO punya kekurangan yang mesti dipulihkan. Dan kami akan memulihkannya. Biar saya berikan sebabnya.

Pertama, setakat waktu dan saat ini, tidak ada gerakan secara besar-besaran meninggalkan UMNO dan menyertai Bersatu.

Malah Bersatu yang terus-terusan mengeluarkan pelbagai kenyataan, bahawa pintunya masih terbuka luas kepada ahli-ahli UMNO untuk menyertainya.

Amatlah jelas, Bersatu sangat memerlukan segala sokongan yang ada kerana kedudukannya begitu rapuh di dalam perikatan politik nasional ketika ini.

Dengan dipimpin oleh negarawan yang sudah lanjut usia, dengan jumlah kerusi yang sangat sedikit, dan barisan kabinet amatur yang amat tidak menyerlah, Bersatu masih belum berjaya meyakinkan orang Melayu. Bersatu masih tidak dapat menyatupadukan orang Melayu.

Kedua, benar UMNO kehilangan kuasa pada PRU 14. Tetapi UMNO bukan kehilangan pengaruh. Perhitungan kemenangan kerusi dalam pilihan raya banyak sekali ditentukan oleh dominasi dan sumbangan sebab-sebab lain.

Namun, kepada kebanyakan orang Melayu, UMNO masih cukup meyakinkan. Di kawasan pedalaman Melayu, UMNO terus berpengaruh.

Malah dalam ketiadaan Bersatu menyediakan agenda dan pelan yang jelas untuk membela kepentingan bangsa, UMNO terus dirujuk dan diingati sebagai gerakan politik yang konsisten dalam jasa baktinya untuk kebaikan orang Melayu, tanpa mengabaikan kepentingan orang-orang lain.

Atas dasar ini, UMNO akan melakukan segala sehabis baik untuk melonjakkan pengaruhnya. Apatah lagi Bersatu kini, yang sangat bergantung pada ihsan DAP, PAN dan PKR, masih tidak jelas tentang bagaimana untuk ia mengepalai orang Melayu.

Ketiga, UMNO dibangunkan atas ideologi yang sangat jujur. Bahawa misi utamanya adalah melakukan kebaikan kepada bangsa Melayu dan berlaku adil kepada bangsa lain bagi membentuk Malaysia yang sejahtera.

Selama 60 tahun, UMNO tidak pernah hilang fokus dalam membangunkan kemandirian bangsa Melayu serta kebolehsaingan Malaysia.

Sedangkan Bersatu, seperti yang kita tahu, telah ditubuhkan tanpa sebarang latar ideologi yang konkrit. Lahirnya hanya kerana amarah seorang negarawan yang berselisih pandangan dengan Presiden UMNO yang lalu.

Sampai waktu ini, tidak ramai ahli Bersatu sendiri yang boleh menjelaskan kepada orang Melayu, atas ideologi apakah Bersatu ini hadir ke dalam arena politik negara?

Keempat, perlu diingatkan, di dalam UMNO, tidak semua berpendirian bahawa bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib itu benar dan betul. Ramai sekali di dalam UMNO yang mahu Datuk Seri Najib mengambil tanggungjawab ke atas kemelut 1MDB.

Kami semua bukan ‘yes man’. Cuma, kami mempunyai cara kami sendiri dalam menguruskan isu dalaman.

Saya akui, sebelum ini UMNO amat bersifat presidential-centric. Dan saya ingin tegaskan, antara mereka yang bertanggungjawab membangun dan membenarkan struktur sebegini dalam UMNO adalah Tan Sri sendiri serta Negarawan Tun Dr. Mahathir.

Malah, kematangan perjalanan politik Tan Sri bermula dan mencapai kedewasaannya semasa berada di dalam UMNO. Tidak ada pihak yang boleh menafikan semua ini.

Apa yang berlaku dalam PRU-14 lalu adalah satu kes terpencil yang menyaksikan UMNO terpaksa membayar harga yang sangat tinggi kerana memilih untuk mengutamakan Presiden daripada parti dan institusinya.

Tetapi, itulah fitrah kehidupan. Kami tidak menyesal. Tapi, kami akan belajar dari kesilapan. UMNO faham pengajaran besar ini dan berhasrat untuk tidak mengulanginya lagi.

Insya-Allah kami akan Islahkan UMNO, selari dengan firman Allah di dalam Al-Quran; “Barangsiapa yang beriman dan mengadakan kebaikan, maka tak ada kekhuatiran terhadap mereka dan tidak pula mereka bersedih hati”.

Kelima, amatlah benar, pengaruh UMNO telah menyusut. Tetapi, adalah juga benar bahawa konteks politik Malaysia tidak akan stabil jika politik Melayu dan Islam terus berkecamuk tanpa sebarang kesepakatan dan kesatuan niat.

UMNO yang lemah adalah sangat tidak strategik kepada kepentingan bangsa Melayu dan masa depan Malaysia. Walau apa pun keadaannya, UMNO harus terus ada untuk orang Melayu, demi mempertahan dan memperbaharui budaya serta jati diri bangsa itu sendiri.

UMNO akan terus menggalas tanggungjawabnya. Malah UMNO akan lebih berperanan daripada Bersatu, kerana Bersatu masih lagi bukan kuasa politik Melayu yang dominan.

Sekarang UMNO sangat mengerti peranan barunya. UMNO akan memastikan parti ini lebih efektif dalam melaksanakan apa yang perlu untuk semua rakyat Malaysia.

Saya percaya, Malaysia Baru di bawah pimpinan Pakatan Harapan (PH), yang menang tidak akan menang semuanya, dan yang kalah tidak akan hilang segalanya.

Dan yang terakhir, dalam keghairahan Bersatu merai kemenangan PH, mereka lupa bahawa, telah wujud satu sistem politik yang bukan lagi berdasarkan pertembungan di antara dua gabungan politik yang besar.

Malaysia waktu ini akan dicorakkan oleh ‘one political coalition against a myriad of political parties’. Maknanya, semua parti politik mempunyai pengaruh dan kepentingan strategik sendiri dalam pembentukan kerajaan. Setiap satunya harus strategik dan terbuka dalam menentukan survival.

Yang pastinya, UMNO, PAS, MIC, MCA, GPS di Sarawak dan Gabungan Bersatu Sabah, berbekalkan formula yang betul dan utuh, mampu membentuk satu gabungan politik yang berupayanya memberi tentangan hebat kepada PH.

Tidak mustahil, untuk kesemua parti ini bergabung bersama Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan menubuhkan sebuah gabungan baharu ‘Pakatan Malaysia’, bukan lagi ‘Pakatan Harapan’.

Bila tiba masanya nanti, hanya Tuhan sahaja yang tahu akan peranan, kedudukan dan masa depan Bersatu.

Wahai Tan Sri Muhyiddin,

Dalam keadaan dan kedudukan Tan Sri saat ini, doakanlah hanya yang baik-baik untuk orang Melayu.

Janganlah doakan kemusnahan UMNO, kerana dalam kebencian Tan Sri terhadap UMNO, ramai sekali yang masih bernaung di bawahnya, mencari dan menunggu kepimpinan dan pencerahan daripadanya.

Doakanlah, dengan hikmah kifarah yang telah Allah timpakan kepada UMNO ini, bakal berhasil usaha Islah dan Tajdid perjuangannya yang jujur dan ikhlas.

Doakanlah, supaya UMNO yang lemah, akan kembali pulih dan kuat.

Doakanlah yang baik-baik, kerana antara asbab Tan Sri berada pada kedudukan kini adalah kerana UMNO juga.

Sewaktu Tan Sri disingkirkan daripada UMNO, ramai sekali ahli UMNO Johor yang bangun, membela dan mempertahan Tan Sri. Bila kami ke Pagoh, tiada sekelumit pun kata nista kami lontarkan kepada Tan Sri. Semuanya kerana kami mengenang jasa Tan Sri terhadap UMNO.

Setelah apa yang berlaku pada UMNO, saksikanlah kelak bahawa parti ini akan bangkit dengan gigih. Bangkit untuk kembali memperjuangkan politik yang baik dan sempurna. Bangkit untuk menjadi pedoman kepada nurani, kesedaran dan intelek bangsa Melayu.

Insya-Allah, UMNO tidak akan musnah!

Dato’ Mohamed Khaled Nordin

Naib Presiden UMNO


1 week ago