Kerjasama Dengan Pas Selaras Dasar Perjuangan UMNO

KUANTAN, 16 Sept – Kehadiran Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ke Muktamar Pas Pusat di Terengganu, semalam menunjukkan parti itu sentiasa sedia bekerjasama dengan mana-mana parti politik asalkan ia bertepatan dan selari dengan perjuangan asas parti itu.

Ketua Umno Bahagian Maran Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin berkata prinsip asas Umno yang mementingkan perjuangan kepada bangsa, agama, dan tanah air akan menjadi penentu kepada kerjasama yang bakal berlaku.

“Gabungan ini saya lihat tidak menjadi masalah asalkan ia bertepatan dengan matlamat perjuangan Umno yang mencari titik persamaan dan sanggup mengenepikan sebarang perbezaan.

“Mungkin akan wujud perbezaan pandangan tapi kerjasama tetap perlu diteruskan dengan memfokuskan perjuangan kepada rakyat dan masa depan negara kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Persona Kasih sempena bulan kesedaran kanser kanak-kanak di Wisma Belia, di sini.

Shahaniza yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri berkata kerjasama ini tidak memfokuskan kepada satu parti sahaja tetapi ia bersifat terbuka.

“Buat masa sekarang, Pas bersesuaian dengan prinsip perjuangan yang diamalkan oleh Umno dan secara peribadi bagi saya apa pun dalam politik, perjuangan kita adalah untuk rakyat.

“Gabungan ini juga bagi saya dapat memberi cabaran besar kepada kerajaan kini dalam memastikan kesejahteraan rakyat,” katanya.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.