Di’Tapau’? PPBM Ada Mesyuarat Cawangan Dan Bahagiankah? Soal Puad


BATU PAHAT, 15 Sept – Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi melontarkan persoalan kepada Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tan Sri Muhyiddin Yassin sudahkah partinya itu mengadakan mesyuarat cawangan dan bahagian bagi tahun ini.

Puad seterusnya berharap agar perkara seperti tahun lepas tidak berulang kembali apabila PPBM hanya mengadakan mesyuarat agung di peringkat pusat sahaja.

Tambah menghairankan kata Puad lagi dalam catatan di laman facebooknya, dari manakah datangnya perwakilan yang hadir ke peringkat pusat tersebut jika mesyuarat di peringkat bahagian dan cawangan tidak diadakan.

Puad memberi maklum balas tersebut rentetan sindiran Ahli Parlimen Pagoh itu memperkecil-kecilkan UMNO yang tetap mengadakan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) bagi tahun ini, yang dijadualkan berlangsung pada hujung bulan ini.

Sebagaimana dilaporkan, Muhyiddin apabila ditanya pemberita sebuah portal, sempena PAU pada 29 hingga 30 September ini, beliau berkata: “Oh, ada lagi PAU? Ingatkan dah tapau”.

“Ya Tan Sri, UMNO tetap mengadakan PAU. UMNO masih ada 51 kerusi Parlimen. UMNO berjaya mengadakan persidangan cawangan dan bahagian 2018 dengan jayanya. Sebab itu PAU diadakan. Payahlah sikit kalau nak haramkan UMNO.

“Tidak seperti PPBM, tahun lalu mengadakan perhimpunan agung, tetapi mesyuarat cawangan dan bahagian tidak diadakan. Maka mana datangnya perwakilan tersebut?

“Tahun ini mesyuarat cawangan dan bahagian PPBM sudah buat ke belum? Jangan nanti tiba-tiba ada Perhimpunan Agung PPBM pula. Tetapi kuasa di tangan Mahathir. Apa-apa boleh dibuat. Mana ada ‘Rule of Law’,” sinis Puad.

Puad juga mendoakan agar Menteri Dalam Negeri itu cepat sembuh dan dapat kembali bertugas demi negara. – Media UMNO.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.