Ketua Wanita UMNO Santuni Muslimat Di Muktamar Pas

KUALA TERENGGANU 14 Sept. – Lembaran baharu kepada sejarah hubungan politik Pas-UMNO terus tercipta apabila Ketua Wanita UMNO, Datuk Dr. Noraini Ahmad pula menyantuni Muktamar Dewan Muslimat Pas Ke-58 di Dewan Konvensyen Taman Tamadun Islam (TTI) di sini pagi ini.

Noraini tiba bersama rombongan Wanita UMNO antaranya Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datin Mastura Mohd. Yazid; bekas Ahli Parlimen Baling, Datuk Dr Mashitah Ibrahim dan Ketua Penerangan, Datuk Ruhaidini Abd. Kadir.

Mereka merupakan tetamu jemputan khas muktamar sayap berkenaan yang akan dirasmikan oleh Naib Presiden Pas, Idris Ahmad sebentar lagi.

Yang hadir sama, Ketua Dewan Muslimat Pas, Nuridah Mohd. Salleh; Ketua Dewan Muslimat Pas negeri, Zarani Othman dan isteri Presiden Pas, Toh Puan Seri Zainab Awang Ngah.

Noraini yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong sebelum ini turut bersama pimpinan tertinggi UMNO memberi sokongan kepada calon Pas bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia, Dr. Halimah Ali semasa proses penamaan calon baru-baru ini. – UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.