Dakwa Peguambela… Betapa Terdesaknya Mereka!!

Pertuduhan AMLA terhadap teraju utama pasukan peguambela saya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah kerana menerima pembayaran bagi khidmat guaman dilaksanakan beliau adalah satu lagi tindakan untuk menafikan saya perbicaraan yang adil.

Ia boleh dilihat sebagai satu langkah untuk menakutkan atau menghalang beliau dan peguam lain daripada mewakili saya di mahkamah.

2. Sebelum ini, hakim bagi kes saya telah ditukar secara tiba-tiba manakala Jabatan Peguam Negara (AGC) pula melantik dua peguam luar bagi mengetuai kes pendakwaan terhadap saya.

Ini juga jelas bertentangan dengan pendirian dan bantahan PH sebelum ini di mana AGC tidak sepatutnya melantik peguam luar sebagai pendakwaraya ketika Tan Sri Shafee bertindak sebagai pendakwaraya dalam kes Datuk Seri Anwar Ibrahim. Kini, AGC bukan sahaja melantik seorang, malah dua peguam luar untuk bertindak sebagai pendakwaraya.

3. Sebagaimana yang saya dedahkan sebelum ini melalui paparan beberapa dokumen, saya menerima sumbangan politik dalam jumlah yang agak besar secara terus kepada saya daripada Kementerian Kewangan Arab Saudi dan putera Arab Saudi yang bertindak mewakili Raja Abdullah.

4. Wang dari sumber ini yang dibayar untuk khidmat Tan Sri Shafee yang menjalankan tugas guaman mewakili parti dalam pelbagai kes selama bertahun-tahun termasuk petisyen pilihanraya bagi Pilihanraya ke-12 dan 13 bagi pemimpin BN lalu seperti Tun Abdullah Ahmad Badawi, Tan Sri Rafidah Aziz dan ramai lagi. Peguam berkhidmat dengan yuran dan mereka berhak menerima pembayaran atas khidmat yang sudah disempurnakan.

5. Membuat dakwaan terhadap Tan Sri Shafee kerana menerima pembayaran bagi khidmat guamannya adalah satu duluan (precedent) perundangan yang berbahaya buat semua peguam, ahli profesional dan perniagaan.

Tiada siapa akan selamat jika kerajaan memilih untuk menjadikan anda mangsa atau melakukan penindasan terhadap anda.

6. Cepatnya pendakwaan menindas terhadap Tan Sri Shafee ini juga mencetuskan persoalan kerana ia dilakukan beberapa hari selepas Tan Sri Shafee mendedahkan secara jelas bahawa Perdana Menteri hari ini yang mengarahkan beliau dilantik sebagai ketua pendakwaan dalam perbicaraan kes liwat DatukK Seri Anwar, satu fakta yang masih tidak dinafikan oleh Tun Mahathir, pembantu peribadinya yang mengatur pertemuan itu atau bekas Peguam Negara ketika itu.

7. Pemilihan masa bagi menuduh Tan Sri Shafee juga mengejutkan kerana saya masih tidak lagi diambil keterangan oleh SPRM ataupun berpeluang untuk memberi bukti dokumen-dokumen berkaitan kes ini. Ini bermakna siasatan masih lagi belum lengkap sebelum Tan Sri Shafee dituduh di mahkamah.

8. Penindasan terhadap Tan Sri Shafee juga boleh dianggap sebagai amat kontroversial pada ketika AGC baru menggugurkan dua pertuduhan rasuah terhadap Menteri Kewangan, di mana ia adalah satu kes yang sedang melalui perbicaraan dengan 20 orang saksi sudah memberi keterangan.

Lebih 12 pertuduhan lagi terhadap pemimpin politik Pakatan dan yang berkaitan dengan mereka turut digugurkan dalam tempoh beberapa bulan ini.

DS Mohd Najib Tun Razak


2 weeks ago