Bertanding Atau Tidak Di Port Dickson : Tunggu UMNO Adakan Mesyuarat Biro Politik 24 Sept Ini

Harris Kamal

KUALA LUMPUR, 14 Sept – Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata UMNO belum ada apa-apa keputusan atau pendirian sama ada akan meletakkan calon atau tidak bagi untuk Pilihan Raya Kecil Parlimen Port Dickson sehingga biro politik UMNO bermesyuarat pada 24hb September depan ini.

“Kita mengambil perhatian tindakan mengosongkan kerusi Parlimen Port Dickson (PD) yang bertujuan memberi laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding mewakili PKR/PH di kawasan Parlimen berkenaan”, katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau turut menjangkakan BN juga akan mengadakan mesyuarat selepas biro politik UMNO bermesyuarat pada 24hb September nanti.

“Oleh yang demikian, sebarang kenyataan atau pendapat yang diutarakan oleh mana-mana pemimpin atau ahli UMNO berkaitan PRK PD adalah dianggap sebagai pendapat peribadi masing-masing, dan mereka berhak dan tidak dihalang berbuat demikian.

“Pendirian rasmi UMNO hanya akan dikeluarkan oleh ibu pejabat parti atau presiden pada masa difikirkan sesuai”, ujarnya.

Pilihan Raya Kecil Parlimen Port Dickson diadakan selepas penyandangnya, Datuk Danyal Balagopal Abdullah meletak jawatan pada 12 September lalu.

Untuk rekod pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu, Danyal mendapat 36,225 undi dan mempertahankan kerusi berkenaan untuk PKR dengan kelebihan 17,710 undi.

Dua lagi pencabar untuk kerusi itu, BN mendapat 18,515 undi manakala PAS memperolehi 6,594 undi. –MediaUMNO


2 weeks ago