Sebatan Sebagai ‘Free Marketing’ Untuk Rakyat Seluruh Negara Kenali Islam

KUALA TERENGGANU, 13 Sept – Kes sebatan syariah ke atas pasangan lesbian di negeri ini baru-baru ini telah membuka mata orang ramai untuk mengenali Islam dengan lebih dekat lagi.

Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Dr Mahfodz Mohamed berkata ada pihak yang memuji dan mengambil pengajaran daripada keindahan perundangan Islam namun ada pihak yang menentang dan mempertikaikan hukuman berkenaan.

“Bukan semua yang menentang malah ada yang bersetuju, inilah yang disebut sebagai free marketing iaitu hukuman yang dilaksanakan di Terengganu tetapi rakyat seluruh Malaysia yang berbincang perihalnya,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Muktamar Dewan Ulama PAS ke 57 di sini, hari ini, yang dirasmikan oleh Mursyidul Am PAS Datuk Hashim Jasin.

Sehubungan itu, Mahfodz berkata tugas PAS khususnya para ulama terus melaksanakan kerja-kerja Islam dan memberikan penerangan menurut perspektif syariat.

Awal bulan ini media melaporkan pasangan lesbian masing-masing berumur 22 dan 32 tahun disebat enam kali selepas didapati bersalah cuba melakukan hubungan seks di dalam kereta, pada 8 April lepas.

Hukuman oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu yang dilaksanakan Jabatan Penjara Malaysia itu dipercayai yang pertama seumpamanya di negeri ini.

Mahfodz juga meminta para ulama memberi penekanan mencari penyelesaian terhadap isu berkaitan akidah dan akhlak yang mengancam kalangan umat Islam.

Beliau juga menegas segala kerjasama yang dilakukan PAS dengan mana-mana pihak harus mendatangkan keuntungan kepada Islam dan menjaga kepentingan ummah.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.