Bebas Tanpa Bicara: Adakah Peguam Negara Melindungi Pemimpin Kerajaan Dan Apa Pendirian Majlis Peguam?

KUALA LUMPUR, 5 Sept – Semua pihak menanti sama ada Majlis Peguam akan mengeluarkan sebarang syor atau kenyataan membantah keputusan yang telah dibuat oleh mahkamah Isnin lalu yang membebaskan Lim Guan Eng dalam kes rasuah berhubung pembelian sebuah banglo ketika menjawat jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang, kata Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Shahril Sufian Hamdan.

“Umum mengetahui kritikan dan saranan Majlis Peguam yang sebelum ini amat agresif dalam apa sahaja kes-kes melibatkan ahli politik Barisan Nasional (BN) maka ini adalah masa yang paling tepat bagi membuktikan Majlis Peguam bersifat non-partisan.”

Katanya, mengikut Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan, adalah budi bicara Peguam Negara untuk memula atau memberhentikan prosiding ke atas mana-mana kes.

“Namun melihatkan rekod Peguam Negara, Tommy Thomas yang merupakan peguam bagi Lim Guan Eng dalam kes ini sebelum dilantik sebagai Peguam Negara memberi gambaran bahawa wujudnya ‘conflict of interest’ dalam permohonan pemberhentian prosiding ini.

“Walaupun Tommy Thomas mendakwa telah menarik diri dari kes Lim Guan Eng ini, tetapi seluruh pejabat Peguam Negara adalah di bawah Peguam Negara sendiri, maka sudah tentu apabila penarikan kes seperti ini, wujud tanda soal seolah-olah selepas bertukarnya Kerajaan, kes yang dianggap cukup kuat untuk didakwa sebelum ini tiba-tiba tidak bersalah pula tanpa sebarang perbicaraan.”

Dalam erti kata lain, tegasnya, tindakan Peguam Negara untuk memohon agar mahkamah membebaskan Lim Guan Eng memberi bayangan bahawa Tommy Thomas bersikap tidak bebas kerana dilihat melindungi kepimpinan kerajaan baharu Pakatan Harapan sedangkan kes-kes lain yang melibatkan pemimpin kerajaan terdahulu, beliau sangat bersungguh-sungguh untuk membawanya ke muka pengadilan walaupun siasatan masih belum diselesaikan.

“Kepada Lim Guan Eng pula, sebagai individu berkepentingan awam sama ada sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang sebelum ini atau menteri Persekutuan hari ini, beliau tidak seharusnya menggunakan teknikal undang-undang untuk membebaskan diri beliau sebaliknya beliau seharusnya berdepan dengan pihak pendakwaan bagi membuktikan beliau tidak bersalah,” katanya lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.