Penarikan Balik Kes Rasuah Guan Eng Beri Implikasi Negatif Terhadap SPRM


KUALA LUMPUR, 4 Sept – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, penarikan balik kes rasuah Menteri Kewangan, Lim Guan Eng telah memberi implikasi yang besar kepada SPRM di mana memperlihatkan seolah-olah Peguam Negara tidak mempercayai siasatan SPRM.

Jelas Ahli Parlimen Bera itu, penarikan balik kes rasuah tersebut juga secara tidak langsung merupakan satu penghinaan terhadap kredibiliti agensi tersebut.

“Tidak hairanlah kenapa pihak SPRM membuat kenyataan terkejut dengan tindakan Peguam Negara ini. Rakyat lebih terkejut kerana sebelum ini Tommy Thomas adalah peguam di dalam kes Guan Eng ini. Maka wujud conflict of interest dalam kes ini.

“Justeru, tindakan Peguam Negara menarik balik kes Lim Guan Eng di mahkamah merupakan penghinaan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Peguam Negara yang merupakan badan yang dihormati selama ini,” tegasnya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Tambah Ismail lagi, tindakan Peguam Negara itu juga amat membimbangkan kerana sebelum ini terdapat beberapa kes yang melibatkan pemimpin Pakatan Harapan juga digugurkan sebelum ini.

“Maka Peguam Negara mesti memberi penjelasan kepada persoalan daripada rakyat ini. Peguam Negara tidak wajar menyalahgunakan kuasa yang diperuntukkan oleh perlembagaan bagi kepentingan politik individu.

“Kuasa yang diberi hanya boleh digunakan untuk sebab-sebab yang munasabah dan berdasarkan perundangan. Jadi, Peguam Negara mesti berikan penjelasan. Jika tidak pihak kerajaan mesti mengambil tindakan terhadap beliau termasuk memecat Peguam Negara,” tegasnya.

Beliau turut menyifatkan tindakan ini merupakan titik hitam kepada sistem perundangan di Malaysia.

Katanya, walaupun berdasarkan perlembagaan, Peguam Negara mempunyai kuasa untuk meneruskan atau menarik balik kes tetapi ia tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya tanpa sebab yang munasabah.

“Saya penuh yakin sebagai badan bebas yang mempunyai integriti yang tinggi, SPRM telah menjalankan siasatan dengan telus dan profesional. Selepas siasatan selesai, barulah SPRM menyerahkan kertas siasat serta cadangan kepada pihak Jabatan Peguam Negara.

“Peguam Negara pula akan meneliti dan mengkaji kertas siasatan. Jika didapati ada prima facie kes maka barulah Peguam Negara menyediakan kertas pertuduhan dan seterusnya membuat pertuduhan di mahkamah.

“Ini bermakna sebelum Guan Eng dihadapkan ke mahkamah, ia melalui prosedur yang sangat ketat dan lengkap. Lebih-lebih lagi kes ini telah pun bermula dan sedang berjalan.

“Maka adalah sesuatu yang sangat menghairankan mengapa Peguam Negara memohon kepada mahkamah untuk menarik balik kes ini, lebih-lebih lagi kes yang sudahpun berjalan dengan 25 saksi telah pun dipanggil,” ujarnya. –MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.