Pemansuhan Akta Antiberita Tidak Benar: Usah Marahkan Nyamuk Kelambu Dibakar

KUALA LUMPUR, 16 Ogos – Menerusi Rang Undang-undang (RUU), ia mentafsirkan berita yang tidak benar sebagai apa-apa jenis penerbitan berita, maklumat, data, laporan yang sebahagian atau keseluruhannya, dalam apa-apa bentuk termasuk rencana, visual atau rakaman audio, adalah palsu.

Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said, mengingatkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk tidak tergesa-gesa memansuhkan Rang Undang-undang (RUU) Anti Berita Tidak Benar 2018 itu hanya kerana dakwaan yang belum tentu jelas dimuktamadkan.

Menurutnya, rang undang-undang itu hanya bertujuan mengekang penyebaran berita palsu dan mewujudkan langkah pencegahan dan RUU itu diluluskan pada 2 April 2018.

“Kalau kata undang-undang ini zalim, jangan marahkan nyamuk kelambu dibakar.

“Kita kena fikir undang-undang yang dibuat adalah untuk melindungi rakyat kerana di luar sana ada negara yang rakyatnya berperang kerana berita palsu,” katanya.

Azalina berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-undang Antiberita Tidak Benar (Pemansuhan) 2018 dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.

“Jika Bukit Gelugor (Ramkarpal Singh) katakan yang sebab akta ini tidak boleh bahaskan 1MDB, Tuan Speaker (Ngar Kor Ming), kami (BN) kalah (PRU14) pasaL 1MDB lah … jadi apa yang tak boleh bahasnya? Tak boleh berceramah?

“Semua orang bercakap mengenai 1MDB sampaikan rakyat percaya kerana inilah sebabnya kerajaan harus ditukar.

“Jangan pula ambil kesempatan sebab ada kuasa majoriti, nak main lanyak je….tak ada masalah … lanyaklah.

“Tapi dalam isu ini, Tuan Speaker kena berlaku adil, dengan ada undang-undang memang kerajaan akan menang daripada segi undi, tapi kerajaan PH perlu fikir dan ingat bahawa undang-undang ini dibuat untuk melindungi dan membantu rakyat,” ujarnya.

Azalina turut menegaskan supaya kerajaan PH tidak mengambil kesempatan dengan memainkan pukul rata setiap perkara yang dibawakan ke dalam dewan tanpa mengira kebajikan rakyat. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.