PAS Umum Dr Halimah Calon PRK DUN Seri Setia, Bekas Calon BN Sg Kandis Turut Hadir

PETALING JAYA, 16 Ogos – Bekas calon Barisan Nasional (BN) bagi PRK DUN Sungai Kandis Datuk Lokman Noor Adam turut hadir sebagai tanda sokongan pada majlis pengumuman calon Pas bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia yang berlangsung di sini malam tadi.

BN sebelum ini memutuskan untuk tidak bertanding di Seri Setia, sebaliknya memberi laluan kepada PAS untuk meletakkan calon pada PRK itu yang turut diadakan serentak dengan PRK DUN Balakong.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menamakan bekas anggota Exco kerajaan negeri Selangor, Dr Halimah Ali sebagai calon parti itu bagi PRK DUN Seri Setia.

Sementara itu, Dr Halimah menyeru pengundi di kawasan DUN itu untuk keluar mengundi pada 8 Sept ini bagi memperkuatkan suara pembangkang di DUN Selangor.

“Selain itu, sepanjang waktu berkempen 21 hari ini saya akan berusaha turun padang bertemu seramai mungkin pengundi di DUN Seri Setia ini bagi mendengar suara hati mereka sendiri.

Saya mahu fokus menyelesaikan masalah rakyat terutama membabitkan masalah sosioekonomi sekiranya saya diberi mandat sebagai ADUN di sini,” katanya.

Menurutnya lagi, beliau yakin PAS mampu memenangi PRK itu sekiranya beliau mendapat sokongan daripada semua pihak termasuk pengundi yang mengundi Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

Penamaan calon bagi PRK itu akan berlangsung pada Sabtu ini.

PRK DUN Seri Setia merupakan PRK kedua diadakan selepas PRU ke-14 (PRU14), berikutan kematian penyandangnya Prof Dr Shaharuddin Badaruddin pada 2 Ogos lepas.

Pada PRU14, 9 Mei lepas, Shaharuddin daripada PKR mengalahkan tiga pencabarnya Datuk Yusoff HM Hanif daripada BN, Mohd Ghazali Daud (PAS) dan calon Bebas Dr S. Vignes dengan majoriti 19,372 undi.


1 month ago