Menjelang 100 Hari: Terbukti PH Kerajaan ‘Kakistocracy’ – Annuar


KUALA LUMPUR, 16 Ogos – Menjelang 100 hari pentadbiran kerajaan baru Pakatan Harapan (PH), ternyata janji-janji yang mereka laungkan dalam kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu khususnya 10 janji dalam tempoh tersebut gagal ditunaikan sebaliknya pelbagai isu lain yang timbul. Hal ini mengundang Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa menekankan bahawa ‘Terbukti PH Kerajaan ‘Kakistocracy’ sebagaimana kenyataannya berikut:

1. KAKISTOCRACY ditafsirkan sebagai sebuah kerajaan yang dikuasai oleh orang-orang yang ‘bobrok’ dan ‘irresponsible’ (tidak bertanggungjawab).

2. Jumaat ini, 17 Ogos 2018, genaplah 100 hari pertama kerajaan Pakatan Harapan (PH) memerintah Malaysia.

3. Rakyat bolehlah menilai kebertanggungjawaban kerajaan PH di dalam menunaikan janji-janji yang termaktub dalam manifestonya, terutama 10 janji yang mereka tawar sendiri kononnya akan dilaksana dalam masa 100 hari memerintah.

4. Selama 100 hari, ia penuh diselubungi kebobrokan, kakistocrasy tahap tertinggi, di mana kononnya manifesto bukan kitab suci. Ini menghina pengundi dan rakyat.

5. Hal sedemikian membuktikan bahawa sejak dari awal lagi, mereka tiada hasrat menunaikan janji manifesto PH, malah ia satu penipuan pengundi secara terancang.

6. Sejak mengambil alih daripada kerajaan Barisan Nasional (BN), PH secara bertali arus menyerang pentadbiran BN dan bukannya berusaha menunaikan janji. Ini telah ditegur oleh Naib Presiden PKR sendiri, Rafizi Ramli.

7. PH tidak jemu-jemu memainkan sentimen bahawa punca utama PH tidak dapat menunaikan janji kerana faktor salah tadbir kerajaan terdahulu.Rakyat sudah mual dengan alasan dan sendiwara sebegini.

8. Berjanji memang mudah kerana lidah tidak bertulang tapi menunaikan janji bukan semudah melafazkannya dan perbuatan memungkiri janji amat dilarang oleh Allah SWT.

Dalam al-Quran dan hadis serta tulisan ulama, banyak yang membicarakan perihal keburukan memungkiri janji.

Allah berfirman yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, penuhi serta sempurnakanlah perjanjian-perjanjian.” (Surah al-Maidah: 1).

Seterusnya Allah berfirman yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya! Amat besar kebenciannya di sisi Allah – kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya.” (Surah ash-Shaff: 2 & 3).

9. PH perlu menjalankan tanggungjawab sebagai sebuah kerajaan tanpa banyak bohong yang mana prioritinya mensejahterakan rakyat demi agama, bangsa dan tanah air tanpa terikut-ikut rentak DAP yang kuat memanipulasi keadaan dengan ideologinya.

10. Biarlah ia selari dengan dua petikan kata Presiden Amerika Syarikat yang ke-16, Abraham Lincoln:

▪Government of the people, by the people, for the people…

▪You can fool all the people some of the time, and some of the people all the time, but you cannot fool all the people all the time.

11. Untuk renungan sejenak, ada 10 janji 100 hari manifesto PH yang retorik dan kelihatan lebih indah khabar dari rupa iaitu:

i. Memansuhkan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).
– Sedang ditunaikan
(Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) telah disifarkan, manakala cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) masih belum diluluskan di peringkat Parlimen.)

ii. Mengembalikan semula subsidi minyak secara bersasar.
– Tidak tertunai
(Harga minyak petrol tidak mampu diturunkan walaupun harga minyak dunia mengalami trend penurunan. Harga RON 95 dikekalkan, namun harga RON97 dan Diesel diapungkan mengikut pendekatan kerajaan BN.)

iii. Skim caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada suri rumah.
– Tidak tertunai.

iv. Menangguhkan pembayaran semula pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
– Tidak tertunai dan tidak dimansuhkan.
(Malah hanya dikaji semula kaedah pembayarannya. Namun sekatan perjalanan ke atas lebih 400,000 peminjam telah pun ditarik balik.)

v. Menyamaratakan gaji minimum.
– Tidak tertunai.

vi. Siasat institusi-institusi yang terpalit dalam skandal terutama sekali isu 1MDB.
– Sedang ditunaikan.

vii. Menghapuskan hutang-hutang tidak wajar yang dipaksa ke atas peneroka Felda.
– Tidak tertunai

viii. Mengkaji semula langkah pemberian projek mega kepada negara-negara asing.
– Tidak tertunai.
(Projek mega dikaji dan dinilai semula beberapa keputusan yang tidak konsisten dicapai dengan membatalkan, kemudian mengkaji semula, menilai semula, menangguhkan dahulu, dan yang terkini mahu merundingkan semula projek-projek yang dilihat berat sebelah dan tidak menguntungkan kerajaan Malaysia.)

ix. Menubuhkan pasukan bertindak untuk mengkaji memulangkan autonomi yang dijanjikan kepada Sabah dan Sarawak seperti yang tertakluk dalam Perjanjian Malaysia 1963.
– Tidak tertunai.

x. Tingkatkan akses dan kualiti perkhidmatan kesihatan.
– Tidak tertunai.
(Dalam kajian dengan memansuhkan bayaran RM 1 dan diganti dengan Insuran Kesihatan).

Berdasarkan 10 janji manis PH itu, hanya tiga sedang ditunaikan dan tujuh tidak tertunai lagi.

12. Yang pasti rakyat terasa bobrok dan tertipu akibat kegagalan PH memerintah dalam 100 hari antaranya seperti berikut:

i. Pakatan Harapan (PH) gagal menunaikan janji dengan tarikh tempoh 100 hari yang mereka sendiri tetapkan.
Hanya sesuku saja yang separa tertunai.
Itu pun dengan impak buruk pada ekonomi negara.

ii. Zero rated SST sudah menyebabkan 12-14 billion hilang dari akaun negara (consolidated fund).
Ia lebih parah lagi apabila tuntutan ‘input tax’ yang tetap dituntut pada waktu GST tidak lagi dikutip menyebabkan tunggakan bayaran kembali membengkak dan membebankan kewangan negara.

iii. Ini ditambah parah dengan pelaburan asing yang menguncup. Pelaburan China saja berbilion terhenti dan hubungan dagang dengan China rosak teruk sehingga Kerajaan China menggelarkan Menteri Kewangan Kerajaan PH sebagai liar dan penipu.

iv. Mata wang negara semakin lemah.
Adalah dikhabarkan Bank Negara Malaysia terpaksa berbelanja puluhan bilion dalam usaha cuba menghalang RM daripada terus merudum.

v. Harga komoditi, khasnya sawit, terus merudum akibat kelemahan kerajaan China, dan tidak lama lagi India mengurangkan pembelian mereka. Ini bakal menghimpit puluhan ribu peneroka dan pekebun.

vi. Di manakah nanti kedudukan rating Malaysia pada hujung tahun ini? Kiranya penarafan ini turun dari A-(stable) pada zaman Barisan Nasional (BN) bererti ekonomi negara semakin malap.

vii. Munculnya ketagihan lama terhadap kereta nasional, Formula One, Jambatan Bengkok, Datuk Seri Ting Phek King, Tun Daim Zainuddin, St Miguel dan Jepun akan menyeret kembali ke era krisis ekonomi dan mata wang 90-an.

viii. Pasaran Saham Malaysia kehilangan puluhan bilion mutakhir ini.
Tahap 1800 mata yang dicapai sebelum ini semakin jauh.

ix. Tidak cukup dengan kebobrokan ekonomi yang sangat parah, sistem lain juga sedang dirosakkan.
Kabinet kini ‘secondary’ kepada Council if Eminent Person yang terdiri daripada kroni satu pihak.
Kehakiman dirosakkan dengan pelantikan berbaur politik dan diarah oleh pihak eksekutif.
Legislatif menjadi semakin dikongkong dalam corak pentadbiran semakin autokratik.
Agenda Reform terkunci mati dan berganti dengan agenda dendam.

x. Kerajaan yang sepatutnya menumpu kepada prestasi dan menunaikan janji bertukar menjadi kerajaan yang kemaruk dengan serangan terhadap pemerintahan yang sudah tumbang.

xi. Sistem Sosial turut dibobrokkan. Kecemerlangan akademik sebagai prioriti bertukar kepada soal remeh seperti warna kasut.
Nilai keagamaan majoriti ummah diganti dengan keutamaan nilai songsang golongan minoriti.
Moral perajurit dan wira bangsa diperlekeh.
Yang cuba diperjuangkan ialah jasa pengganas dan komunis yang diharamkan.

xii. Konsep Bahasa Jiwa Bangsa tidak terlepas daripada dibobrokkan.
Dasar Pelajaran diperlekeh dan persijilan yang membelakangkan dasar diutamakan.

xiii. Daripada sudut politik, turut dibiarkan bobrok oleh ketua eksekutif daripada parti minoriti yang berasa cukup asal dapat sedikit kuasa untuk agendanya. Penghakisan sistematik terhadap apa yang terbina tujuh dekad lalu terjual murah sedikit demi sedikit. Politik proksi semakin menyerlah dengan maharaja politik sebenar mengawal di belakang tabir melalui kuasa politik partinya yg dikawalnya selama 5O tahun.
Hari ini beliau adalah gembala kabilah terbesar menguasai kerajaan

xiv. Semua kebobrokan ini akan bertambah. Ketua kerajaan tidak dapat memilih yang terbaik kerana semua anggota kabinet bukan saja berkepala dua dengan dasar berbeza, tetapi juga kualiti terpaksa dikorbankan kerana kuota didahulukan.

xv. Maka jadilah kerajaan PH ini kerajaan ‘kakistocrasy’ tulen.
Thomas Live Peacock di abad ke 17 menggambarkan istilah kerajaan KAKISTOCRACY – “a system of government which is run by the worst, least qualified, unprincipled people (κάκιστος; worst) and kratos (κράτος; rule), with a literal meaning of government by the worst people.”.

xvi. Rakyat tidak dapat berbuat apa- apa buat masa ini. Walau cukai semakin tinggi, penajaan PTPTN semakin sukar, harga barang makin naik, tol terus terpaksa di bayar, gaji minimum RM1,500 tidak terlaksana, bantuan sara hidup semakin kecil, pekerjaan semakin sukar.
Maka terpaksalah telan dan berpuas hati dengan umpanan label dan kebencian kepada kerajaan lama.

xvii. Sedikit pengharapan yang masih ada ialah kepada kumpulan reformasi yang baru mencari ruang yang pernah di janjikan.
Namun itu pun jika tidak disegerakan, ada besar kemungkinan pisang berbuah dua kali.

13. Apapun, kita menerima keputusan rakyat dengan lapang dada dan hati terbuka pada PRU-14 lalu kerana sudah begitu yang dimahukan oleh pengundi pada waktu sementara lima tahun ini.

14. Percayalah kita akan bangkit bersama rakyat daripada detik hitam tertumbangnya kerajaan UMNO/ BN, pada 9 Mei lalu.

15. Ia satu pengajaran dan pelajaran untuk kita akui secara terus terang, berani, ikhlas dan jujur.

16. Kita mesti mengajak rakyat kembali melangkah ke depan dan membuat pembetulan dan perubahan semula dengan penuh tawakal.

17. Sesat di hujung jalan, kembali ke pangkal jalan.

Kesal dahulu pendapatan, kesal kemudian tidak berguna.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.