PH Tidak Akan Bentuk Kerajaan Jika Kadar SST Dicanang Sebelum PRU Lalu

KUALA LUMPUR, 15 Ogos – Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan penuh yakin dan percaya Pakatan Harapan (PH) tidak akan membentuk kerajaan hari ini sekiranya mereka menyatakan dengan jelas kadar Sales And Sevices Tax (SST) yang akan dikenakan bagi menggantikan Goods And Services Tax (GST).

Ini kerana katanya jika dengan kadar 10 peratus untuk cukai SST harga barang dan sebagainya lagi akan mengalami kenaikan malah pada masa yang sama rakyat tidak akan tahu kadar cukai yang berada di dalam harga sesuatu barang yang dibeli.

“Bukan sekadar itu sahaja malah SST ini sebenarnya cukai yang tidak telus. Cukai ada dalam harga barang tetapi rakyat tidak tahu. Kalau pada nafas yang sama pembangkang sebelum ini berceramah di semua tempat mengatakan akan menambah cukai pada kadar 10 peratus mereka tidak akan jadi pemerintah hari ini.

“Walaupun di dalam buku mereka ada dimasukkan GST dimansuh dan ditukar kepada SST tetapi tidak disebutkan berapa peratus. Mereka berselindung dan kerajaan memperdaya rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program  Diskusi Dari Parlimen yang mengenengahkan topik SST: Harga Barang? yang dihoskan oleh Adnan Seman selaku moderator, di sini, malam tadi.

Ahmad seterusnya mempersoalkan apakah pengilang mahu pun pengimport akan mengurangkan keuntungan sebanyak 10 peratus untuk menyerap kos SST.

“SST ini diambil daripada dua punca. Punca pertama daripada pengilang. Ini semua orang tahu. Ada lagi satu punca yang rakyat tidak beberapa tahu yang mana cukai diambil daripada pengimport. Berapa banyak pengimport barang yang masuk ke pelabuhan itu dikenakan cukai SST 10 peratus.

“Saya nak tanya kilang mana yang sanggup mengurangkan keuntungannya sebanyak 10 peratus untuk menyerap kos SST. Pengimport mana yang sanggup menyerap kos 10 peratus SST dan mengurangkan keuntungan mereka 10 peratus

“Apa yang akan berlaku ialah barang-barang import kena SST 10 peratus dan dengan sendirinya kadar berkenaan akan masuk ke dalam harga barang. Begitu juga pengilang-pengilang apabila mereka kena bayar kepada kastam 10 peratus dan ianya akan dimasukkan ke dalam harga barang, “ katanya.

Beliau seterusnya memberi contoh analogi sebuah kerusi dengan harga RM100 sebelum dikenakan cukai SST pada kadar 10 peratus.

“Katakanlah sebuah kerusi berharga RM100 termasuk margin…apabila masuk SST harganya akan jadi RM110. Rantaian seterusnya adalah kepada pemborong dan pemborong tentunya akan menaikkan lagi dan ada cukai atas cukai sebab cukai SST yang asal masuk ke dalam keuntungan yang diletakkan oleh pemborong.

“Pemborong hantar kepada pekedai dan pekedai berkenaan tentunya sudah ada margin di situ. Dalam margin itu  juga ada cukai SST yang telah dibayar peringkat awal tadi. Itu sebabnya cukai ini tidak telus. Cukai ada dalam harga barang tetapi rakyat tidak tahu.

“Kemudiannya daripada pekedai dijual kepada pengguna. Pengguna memang tidak nampak di dalam resit…senyap-senyap tambah….slow-slow tipulah SST. Apabila sampai kepada pengguna yang harga kerusi tadi RM110 daripada kilang dengan margin 20 peratus kalau dikira dah jadi berapa. Cukup mahal harganya apabila sampai kepada pengguna dan inilah bahana SST,“ katanya lagi. – MediaUMNO                

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.