KJ Harap UMNO Sabah Terus Kekal Bersama BN

KUALA LUMPUR, 15 Ogos – Anggota Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin berharap UMNO Sabah yang akan menyertai Gabungan Bersatu Sabah terus kekal bersama UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Menurutnya, beliau memahami keperluan membentuk satu gabungan negeri bagi membawa isu-isu berkaitan Sabah tetapi langkah itu tidak perlu membawa kepada perpisahan.

“Mungkin gabungan ini lebih kepada satu platform bagi mereka mengusahakan isu berkaitan Sabah, tetapi tidak bermaksud mereka perlu keluar daripada UMNO,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.

Khairy berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan UMNO Sabah hari ini yang mengumumkan keputusan menyertai gabungan parti pembangkang dikenali sebagai Gabungan Bersatu Sabah yang akan didaftarkan dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan tidak lama lagi.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Datuk Hajiji Mohd Noor berkata keputusan itu dibuat selepas parti komponen BN negeri itu meninggalkan gabungan itu selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Sementara itu, ketika diminta mengulas saranan beberapa pemimpin UMNO yang meminta bekas presiden parti Datuk Seri Najib Tun Razak menjarakkan diri daripada UMNO, Khairy berkata beliau bersetuju dengan saranan tersebut.

Katanya pemimpin baharu di dalam UMNO perlu diberi peluang sepenuhnya untuk mencorak hala tuju parti itu.

“Saya setuju, pemimpin baharu dalam UMNO perlu diberi ruang sepenuhnya untuk meletakkan hala tuju yang baharu, sebab itu bekas presiden (Najib) perlu beri peluang,” katanya.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.