Kerajaan PH Bawa Pelaburan Dari China… Lupakah Tuduhan BN Gadai dan Jual Negara?


JOHOR BAHRU, 14 Ogos – Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor hari ini mengucapkan tahniah di atas kejayaan membawa masuk hampir RM400 juta pelaburan dari China seperti mana yang diumumkan Menteri Besar (MB) Johor semalam.

Ketuanya, Mohd Hairi Md Shah berkata, pelaburan sebuah kilang benang yang akan didirikan di Senai bernilai USD200 juta dan kilang tayar di Segamat juga dengan nilai USD200 juta, merupakan satu pelaburan yang sangat sihat, selain mampu memberikan peluang pekerjaan kepada anak-anak muda tempatan khususnya di dua kawasan terbabit.

“Tetapi adakah MB dan kepimpinan Pakatan Harapan (PH) terlupa bahawa sebelum ini, mereka merupakan penghalang utama kepada kemasukan pelaburan dari Negara China, malah pernah mengelarkan bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) sedang mengadai dan menjual Negara khususnya Johor kepada China?

“Terlupakah mereka dengan dakwaan bahawa Johor akan dipenuhi dengan warga China melalui pelaburan tersebut termasuk dakwaan mereka bahawa warga China ini akan diberikan kerakyatan khususnya untuk membantu BN dalam Pilihan Raya Umum, adakah MB dan kepimpinannya terlupa dengan dakwaan-dakwaan yang pernah mereka buat sebelum ini,” ujarnya yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Johor Bahru.

Jelasnya, dengan apa yang berlaku belum pun 100 hari mereka kerajaan PH memerintah, hanyalah satu propaganda jahat mereka mendakwa BN menjual kedaulatan negara kepada China, demi kepentingan politik, menjelang PRU14 lalu.

“Propaganda palsu ini tidak berlandaskan fakta dan angka yang sebenar, tetapi berasaskan fitnah jahat untuk mencipta persepsi negatif kepada BN.

“Hakikatnya sebelum ini, jumlah pelaburan China di Malaysia adalah yang ketiga tertinggi di bawah Singapura dan Jepun, jika menurut logik mereka (PH), kedaulatan Malaysia sepatutnya terjual kepada Singapura dan Jepun terlebih dahulu kerana jumlah pelaburan mereka yang lebih besar jika dibandingkan dengan jumlah pelaburan yang dibuat oleh China dalam negara kita.

“Sebagai sebuah negara yang mengamalkan ekonomi terbuka, Malaysia sudah tentu akan menerima pelaburan dari luar negara tetapi tidak terhad kepada China sahaja.

“Nasi sudah menjadi bubur, kalau betullah kerajaan PH mengambil langkah yang sama untuk menjadikan China sebagai pelabur utama negara, bermakna sekali lagi Rakyat Malaysia ditipu oleh Kerajaan PH ini,” tambahnya lagi.

Terdahulu, MB Johor, Datuk Osman Sapian berkata, Johor bakal menerima pelaburan baharu bernilai USD400 juta menerusi dua syarikat dari China iaiu sebuah kilang benang akan didirikan di Senai dengan pelaburan bernilai USD200 juta dan kilang tayar di Segamat juga dengan nilai USD200 juta. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.