Usah Panjangkan Polemik Bekas Presiden Najib Razak

Ropikah Ahmad

KUALA LUMPUR, 11 Ogos – Segala kebobrokan dan kelemahan lampau harus segera dilakukan koreksi agar UMNO kembali mendapat kepercayaan rakyat sekaligus dipasakkan semula roh perjuangan yang meletakkan kepentingan Agama dan Bangsa atas landasannya yang hakiki, kata Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki

Justeru katanya, Pemuda UMNO berharap sudah tiba masanya setiap pendokong UMNO untuk bergerak ke hadapan dan kembali fokus kepada agenda Islah dan reformasi parti.

“Pemuda UMNO amat prihatin dengan kenyataan beberapa pihak berkenaan status bekas Presiden UMNO YB Datuk Seri Najib Razak di dalam hal ehwal politik semasa khususnya UMNO kini.

“Pemuda UMNO berharap polemik mengenainya tidak berpanjangan dan tidak lagi diwacanakan secara terbuka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ujarnya, Pemuda UMNO amat menghargai keterbukaan dan jiwa besar Datuk Seri Najib Razak yang telahpun mengeluarkan kenyataan bahawa beliau tidak mahu terus membebankan UMNO di dalam menghadapi fitnah dan tuduhan kes beliau di mahkamah.

“Pemuda UMNO konsisten mengingatkan bahawa bekas Presiden UMNO itu berhak menerima layanan yang adil dan telus dalam proses undang-undang dan penghakiman tanpa prejudis dan eksploitasi,” katanya lagi. – MediaUMNO


2 months ago