10 Janji Dalam 100 Hari Adalah Hak Rakyat…Tinggal Beberapa Hari Untuk Ditunaikan

KUALA LUMPUR, 11 Ogos – Exco Pemuda UMNO, Afriz Mohd Noor  melihat 10 janji dalam 100 hari yang dilontarkan oleh Pakatan Harapan sebelum ini adalah hak rakyat yang perlu dilunaskan.

Menurut beliau sebagai sebuah kerajaan yang mengaku lebih bertanggungjawab berbanding kerajaan terdahulu mereka haruslah membuktikan kepada seluruh rakyat Malaysia bahawa kata-kata itu bukan sekadar gula-gula politik.

“Walaupun ada sebahagian besar daripada rakyat yang sangsi dengan janji-janji Pakatan Harapan sepanjang kempen PRU14 yang lalu, ianya tetap mendapat perhatian dan ini sudah tentu membawa kepada sokongan terhadap Pakatan Harapan atas dasar percaya.

“Rakyat telah meletakkan kepercayaan bahawa 10 janji yang dijanjikan akan ditunaikan dalam tempoh 100 hari Pakatan Harapan berkuasa dan sudah pasti rakyat telah mencipta dunia fantasi mereka sendiri yang membawa mereka kepada satu kehidupan yang lebih baik berbanding sebelumnya berdasarkan kepada janji-janji tersebut.

“Namun tempoh 100 hari itu semakin dekat dan rakyat kini rasanya telah sedar bahawa dunia fantasi yang dibayangkan sebelum ini hampir pasti berakhir dengan dusta selain mereka hanya menjadi mangsa permainan politik dalam kalangan mereka yang begitu dahagakan kedudukan dan kuasa,” katanya kepada UMNO-Online, di sini hari ini.

Katanya lagi sejak Pakatan Harapan mentadbir Putrajaya, rasanya seluruh dunia sedar bahawa 10 janji yang diwar-warkan sebelum ini langsung tidak menjadi agenda utama kerajaan PH sebaliknya janji berkenaan telah bertukar menjadi kajian.

“Hanya segelintir sahaja yang dapat menerima alasan sedemikian kerana kajian bermaksud mengkaji sesuatu perkara sebelum ianya diputuskan manakala janji pula melibatkan perkara-perkara yang telah pun dikaji dan diputuskan.

“Dalam konteks ini sepatutnya 10 janji tersebut secara zahirnya telah melalui semua proses kajian dan keputusan dibuat berdasarkan kemampuan Pakatan Harapan untuk menunaikannya dalam tempoh 100 hari. Malangnya sehingga kini, 10 janji tersebut yang tinggal beberapa hari sahaja lagi kita sama-sama nantikan apakah mampu ditunaikan,” katanya.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.