Menteri PH Suka Alih Isu, Buat Kenyataan Separuh Masak, Tuding Jari Dan Cari Salah


KUALA LUMPUR, 10 Ogos – Sejak menjadi Menteri Kewangan kepada Kerajaan Pakatan Harapan (PH), kerja Lim Guan Eng ialah mengalih isu, buat pendedahan separuh masak, menuding jari dan “cari salah” Kerajaan Barisan Nasional (BN), kata Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi.

Katanya, dua hari lepas, Guan Eng mendakwa Kerajaan Barisan Nasional (BN) telah mencuri wang GST kononnya wang refund GST tidak dimasukkan ke dalam akaun amanah tetapi dimasukkan ke akaun Consolidate Fund dan dianggap sebagai revenue.

“Kerajaan PH memang keras kepala, degil dan buta. Lim Guan Eng akui Kerajaan kehilangan hasil negara sebanyak RM17 Bilion apabila GST ditamatkan. Kemudian berlaku di depan mata, harga barang tidak turun pun setelah GST sifar dilaksanakan. Semua tahu pengalaman lepas, iaitu ketirisan akan berlaku bila SST diperkenalkan. Tetapi kenapa SST diteruskan juga?

“Guan Eng dakwa bila SST dilaksanakan hasilnya dipulangkan pada rakyat. Apa yang dipulangkan kalau setakat barangan yang dikenakan SST cuma 6,400 item berbanding GST 11,115 item, itu tidak membawa makna besar kepada rakyat,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Bidasnya, Guan Eng bangga 7,000 restoran yang pendapatannya kurang RM1 Juta dikecualikan dari SST.

“Justeru menurut beliau ini membawa kegembiraan mereka yang suka makan roti canai, nasi goreng dan kuay teow, sedangkan pulangan yang dituntut oleh rakyat ialah harga barang akan turun bila GST dihapuskan.

“Sebenarnya apa yang berlaku, rakyat lebih banyak “kehilangan” bila GST dihapuskan. Antaranya, tiada kenaikan gaji dan bonus, penangguhan bayaran hutang PTPTN dibatalkan, tajaan MyBrain tangguh, ribuan pekerja kontrak diberhentikan, pengambilan PTD ditangguhkan dan projek projek “game changer” seperti MRT3 dan HSR ditangguhkan,” tegasnya lagi.

Soalnya, apakah bila dipulangkan kepada rakyat melalui BRIM, itu dianggap “curi”?

“Guan Eng kata dia minta penjelasan Ketua Setiausaha Negara (KSN) dan di lobi Parlimen dia minta bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP) beri penjelasan. Itulah cara Guan Eng, buat tuduhan separuh masak.”

Ujarnya, dua hari lalu berlaku pengundian supaya Sales Tax Bill dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Parlimen (select committee) yang usul itu dikemukakan oleh Datuk Ronald Kiande (BN). Hanya 51 menyokong dan 111 menentang dan semalam Service Tax Bill pula diluluskan.
“Kini nyawa SST bergantung kepada Dewan Negara kerana majoritinya adalah Senator BN.” – MediaUMNO


2 months ago