Tuduhan BN Merompak Duit Bayaran Balik GST Satu Dakwaan Serius – Khairy

Azlina Rosdy


KUALA LUMPUR, 9 Ogos – Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin menyifatkan tuduhan ke atas Barisan Nasional (BN) telah ‘merompak’ RM18 bilion yang sepatutnya dipulangkan kepada peniaga untuk Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) adalah satu tuduhan yang serius dan tidak boleh dibuat sewenang-wenangnya.

Jelas beliau, tuduhan tersebut tidak boleh dibuat tanpa bukti yang kukuh dan mesti disiasat secara terbuka dan bukan disiasat secara dalaman di peringkat Kementerian Kewangan sahaja.

KUALA LUMPUR, 9 OGOS – Ahli Parlimen BN Rembau Khairy Jamaluddin Abu Bakar bersama-sama Ahli Parlimen BN yang lain di dalam sidang media di perkarangan Dewan Parlimen petang tadi. Foto:MediaUMNO

“Oleh kerana Menteri Kewangan (Lim Guan Eng) telah mengatakan ini ‘rompakan’… maksudnya mencuri… ini menjadi satu kesalahan jenayah. Saya tanya Guan Eng sama ada akan ada satu siasatan dibuat bukan setakat kenyataan di Parlimen sahaja, dia jawab bahawa Kementerian Kewangan akan buat siasatan dalaman.

“Bagi saya ini tidak mencukupi. Kalau dibuat tuduhan rompakan maka mesti dibuat siasatan yang terbuka, oleh sebab itu saya mengambil keputusan untuk buat laporan polis hari ini dan esok akan buat laporan kepada SPRM pula,” ujar beliau kepada media selepas membuat laporan polis di IPD Sentul.

Jelas Khairy, pemimpin di peringkat BN juga mahu membersihkan nama kerajaan terdahulu dan sekiranya benar berlaku rompakan maka bawalah mereka yang terlibat ke muka pengadilan.

“Jika tidak, mestilah dijelaskan bahawa tuduhan itu tidak tepat dan tidak berasas,” tegas beliau.

Guan Eng ketika penggulungan Perbahasan Rang Undang-undang (RUU) Cukai Jualan 2018 di Dewan Rakyat baru-baru ini telah mendakwa kerajaan BN ‘merompak’ bayaran balik GST yang sepatutnya dipulangkan kepada peniaga dalam masa dua minggu.

Semalam, sekali lagi Guan Eng membangkitkan perkara sama di Dewan Rakyat dengan mengatakan audit dalaman dan pemeriksaan kastam mendapati sejumlah RM18 bilion hilang dalam tabung bayaran balik GST.

Dakwaan Guan Eng ini tidak disenangi oleh semua Ahli Parlimen Pembangkang dan menuntut Guan Eng untuk memberi penjelasan terhadapan dakwaan ‘merompak’ itu. – MediaUMNO


3 months ago