Tiada Kehilangan Wang Bayaran Balik Kutipan GST – Irwan Serigar

PUTRAJAYA, 9 Ogos – Bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah hari ini menafikan dakwaan berlakunya kehilangan wang kira-kira RM18 bilion untuk tuntutan balik Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Beliau menjelaskan semua hasil kutipan GST dimasukkan ke dalam Kumpulan Wang Disatukan sebelum disalurkan kepada tabung amanah untuk membayar tuntutan balik GST berdasarkan permintaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Menurutnya, prosedur tersebut termaktub di bawah Akta Prosedur Kewangan 1957 di mana maklumat itu boleh didapati daripada Jabatan Akauntan Negara dan Bahagian Fiskal, Kementerian Kewangan.

“Dalam mesyuarat bulanan pengurusan aliran tunai kerajaan pusat, pihak Kastam akan membentangkan keperluan dana untuk membuat bayaran balik dan jumlah tertunggak yang perlu dibayar.

“Berdasarkan keperluan mereka (Kastam) dan kedudukan hasil kerajaan, mesyuarat akan membuat keputusan berapa jumlah peruntukan kepada tabung amanah itu perlu dibuat,” katanya ketika ditemui media di sini hari ini.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng ketika membentangkan Rang Undang-undang Cukai Barang dan Perkhidmatan (Pemansuhan) 2018 bagi bacaan kali kedua di Dewan Rakyat semalam mendedahkan terdapat sejumlah RM19.4 billion dalam tunggakan pembayaran bagi tuntutan cukai input GST sejak pelaksanaannya pada April 2015 sehingga 31 Mei lalu.

Katanya rekod JKDM mengesahkan daripada jumlah tunggakan tersebut, sebanyak RM9.2 billion atau 47 peratus adalah pada tahun ini; RM6.8 billion (35 peratus) pada 2017; RM2.8 billion (15 peratus) pada 2016 dan RM600 juta (3 peratus) pada 2015.

Bagaimanapun, Lim mendakwa baki sedia ada dalam tabung bayaran balik GST hanyalah sekitar RM1.49 bilion sahaja, menandakan terdapat kekurangan kira-kira RM18 bilion.

Memberikan contoh bayaran tuntutan balik GST pada tahun lepas, Mohd Irwan Serigar berkata pihak Kastam telah membayar tuntutan berjumlah RM23 bilion iaitu 34 peratus daripada jumlah pungutan GST.

Menurutnya, difahamkan sebanyak RM15 bilion lagi tuntutan tertunggak pada tahun lepas masih memerlukan verifikasi, siasatan dan proses pengauditan bagi memastikan tiada fraud atau tuntutan palsu.

“Setiap sen dikira. Ia wang rakyat. Sebab itulah betapa pentingnya wang ini dikredit ke dalam Kumpulan Wang Disatukan.

“Apabila diperlukan, wang itu itu akan dikeluarkan (daripada Kumpulan Wang Disatukan),” katanya.

Mohd Irwan Serigar berkata jika tuntutan balik adalah jelas, pihak Kastam akan membuat bayaran dalam masa 14 hari, namun sekiranya terdapat keraguan dan kes tuntutan palsu yang memerlukan siasatan dan pengauditan lanjut, ia akan memakan masa yang lebih lama.

“Secara kesimpulannya tiada berlaku kehilangan dana,” katanya, sambil menambah beliau sedia memberi kerjasama sekiranya pihak kerajaan memerlukan maklumat berkenaan perkara itu.

Ditanya sama ada beliau akan membuat laporan polis berkenaan kenyataan Lim yang mengaitkan dirinya dengan dakwaan kehilangan dana itu, Mohd Irwan Serigar berkata beliau tiada perancangan untuk berbuat demikian setakat ini.


3 months ago