PAC Akan Bincang Dakwaan Kekurangan RM18 Bilion Wang Tuntutan GST

KUALA LUMPUR, 9 Ogos – Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dijangka membincangkan isu wang tuntutan cukai input bagi kutipan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sebanyak RM18 bilion yang didakwa ‘dirompak’ kerajaan terdahulu oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Pengerusi PAC Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata beliau akan mencadangkan perkara itu dibincangkan pada prosiding PAC akan datang.

“Ia boleh dibincangkan mengikut Peraturan-peraturan Mesyuarat 77 (1) a dan d,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Kiandee diminta mengulas pendedahan Lim pada sesi Dewan Rakyat semalam mengenai perkara itu.

Lim hari ini bertegas mempertahankan kenyataannya berhubung RM18 bilion wang tuntutan cukai input bagi GST yang sepatutnya dibayar balik kepada peniaga telah ‘dirompak’ kerajaan sebelum ini.

Lim ketika membentangkan Rang Undang-undang Cukai Barang dan Perkhidmatan (Pemansuhan) 2018 bagi bacaan kali kedua di Dewan Rakyat semalam mendedahkan terdapat sejumlah RM19.4 billion dalam tunggakan pembayaran bagi tuntutan cukai input GST sejak pelaksanaannya pada April 2015 sehingga 31 Mei lalu.

Namun beliau berkata baki sedia ada dalam Tabung Bayaran Balik hanyalah sekitar RM1.49 bilion sahaja, menandakan ada kekurangan kira-kira RM18 bilion.


2 months ago