Anggota Dewan Rakyat Diberi Amaran Jangan Guna Perkataan Kesat

KUALA LUMPUR, 9 Ogos – Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Mohamad Ariff Md Yusof memberi amaran kepada semua Anggota Parlimen supaya menjaga tingkah laku dan tidak menggunakan kata-kata kesat serta berbaur lucah di dalam Dewan Rakyat.

Mohamad Ariff berkata tindakan keras boleh diambil di bawah Peraturan Mesyuarat 44 (2), termasuk mengarahkan mereka keluar dari dewan untuk satu tempoh tertentu.

“Jika perkataan-perkataan ini disebut maka saya tegaskan sekali lagi bahawa saya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan ke atas mana-mana ahli Yang Berhormat yang gagal mematuhi peraturan-peraturan mesyuarat,” katanya selepas selesai sesi soal jawab lisan.

Beliau merujuk insiden pertikaman lidah antara Anggota Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin dengan Willie Mongin (PH-Puncak Borneo) dan Su Keong Siong (PH-Kampar), pada Selasa (7 Ogos).

Sambil melahirkan kekesalannya, Mohamad Ariff berkata perkataan-perkataan kurang sopan juga pernah dikeluarkan oleh anggota-anggota Parlimen lain sebelum ini, yang mana ia tidak menghormati dan mencemarkan Dewan Rakyat.

Beliau menjelaskan Peraturan Mesyuarat 36 (4) memperuntukkan adalah menjadi kesalahan bagi ahli-ahli dewan menggunakan bahasa kurang sopan, biadab atau membuat pernyataan yang seksis.

Katanya walaupun Anggota Dewan Rakyat yang melakukan kesalahan tersebut telah memohon maaf dan menarik balik perkataan kurang sopan mereka, namun ia dilihat sekadar ‘melepaskan batuk ditangga’ malah ada yang mengulangi kesalahan tersebut.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.