Dr. Ronald Kiandee Komited Galas Tanggungjawab Pengerusi PAC

KUALA LUMPUR, 7 Ogos – Ahli Parlimen Beluran Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata, beliau akan melaksankan tanggungjawab yang diamanahkan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang baru dengan penuh tanggungjawab dan komited.

Jelas beliau, jawatankuasa di bawah pimpinannya kini mempunyai beban kerja yang hebat maka semua pihak yang terlibat di dalam PAC perlu memainkan peranan.

“Saya ucapkan terima kasih atas mandat yang diberikan oleh Dewan Perwakilan Rakyat (DPR), Ketua Pembangkang dan kerajaan PH di atas perlantikan ini.

“Saya akan memastikan semua ahli bekerja untuk memastikan kita mencapai keputusan yang diinginkan bagi jawatankuasa ini. Jawatankuasa ini mempunyai beban kerja yang hebat, jadi bukan hanya pengerusi dan timbalan pengerusi sahaja mainkan peranan, tetapi semua ahli,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, pada sesi Dewan Rakyat, Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof menerima usul pelantikan Pengerusi dan Timbalan PAC yang dibentangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Liew Vui Keong mencadangkan nama Ronald sebagai Pengerusi PAC manakala Timbalan Pengerusinya pula, Ahli Parlimen Ipoh Timur, Wong Kah Woh bagi sesi Majlis Parlimen ke-14 ini.

Cadangan tersebut mendapat sokongan sebulat suara tanpa dibahas.

Tambah Ronald lagi, di bawah kepimpinannya beliau akan memastikan PAC mengkaji projek yang dibiayai oleh kerajaan PH di mana-mana peringkat jika dianggap perlu dengan meneliti susulan terhadap apa-apa cadangan yang dibuat oleh PAC kepada kerajaan PH.

“Kita juga akan mengadakan perbincangan dengan semua Ahli Parlimen yang bukan dalam jawatankuasa itu dan akan sentiasa bersifat terbuka kepada cadangan serta saranan untuk PAC menjalankan peranan menyiasat,” katanya.

Ronald turut tidak menafikan pengalaman yang ditimba semasa menjadi Timbalan Speaker Dewan Rakyat untuk dua penggal akan digunakan bagi menjalankan tanggungjawab sebagai pengerusi PAC dengan baik. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.