Tiada Bukti Terhadap Tuduhan Zahid Ada Aset RM230 Juta


KUALA LUMPUR, 6 Ogos – Tiada bukti untuk menyokong dakwaan bahawa Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memilik aset bernilai RM230 juta.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong berkata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menyiasat jika ada unsur salah laku di bawah bidang kuasanya terhadap bekas timbalan perdana menteri itu.

“Tiada pernyataan atau bukti yang menyokong kewujudan wang tersebut.

“SPRM akan menyiasat jika terdapat maklumat atau bukti kukuh,” kata Liew dalam jawapan bertulis kepada Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor).

Ramkarpal bertanya sama ada kerajaan akan menyiasat tuduhan ke atas aset bernilai RM230 juta yang dikatakan dimiliki Ahmad Zahid.

Pada Ogos tahun lepas, Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk menawarkan dirinya untuk disiasat SPRM atas tuduhan beliau mempunyai RM230 juta ketika menerajui Pemuda Umno.

Dakwaan itu didedahkan pertama kali oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.