Lebuhraya Pan Island Link : Kos Meningkat RM2.5 Billion, Kerajaan PH Tipu Rakyat


KUALA LUMPUR, 6 Ogos – Datuk Seri Najib Razak mendakwa kerajaan Pakatan Harapan (HP) memperdaya rakyat apabila meneruskan projek mega Lebuhraya Pan Island Link 1 (PIL-1) berikutan kosnya kini dikatakan meningkat RM9 bilion berbanding anggaran asal, RM7.5 bilion.

Bekas Perdana Menteri berkata, sebelum ini PH sering mengecam pentadbirannya apabila memulakan projek Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) sepanjang 688 kilometer (km) yang didakwa terlalu mahal dan membazir sedangkan manfaatnya cukup besar untuk rakyat dan lima negeri terbabit.

“PH mendakwa harga RM55 bilion untuk 688 km iaitu RM80 juta satu km, terlalu mahal walaupun projek ini termasuk kos kereta api, kos membina 27 stesen serta pembinaan terowong sepanjang 50 km akan memberi manfaat kepada lima negeri yang selama ini ketinggalan dari segi pembangunan dan berjuta-juta rakyat Malaysia.

“Tetapi peliknya, apabila PH tegas untuk membuat projek mega seperti projek PIL-1 sepanjang 19.5 km yang dahulunya dianggarkan bernilai RM7.5 bilion (RM385 juta bagi setiap km) dan kini kos dikatakan sudah meningkat ke RM9 bilion (RM461 juta setiap km), walaupun dibantah penduduk Pulau Pinang kerana membabitkan kos terlalu tinggi dan tidak diperlukan.

“Difahamkan kerajaan Pulau Pinang sudah memohon RM1 bilion daripada Kerajaan Persekutuan sebagai modal permulaan projek PIL ini,” katanya dalam catatan terbarunya di Facebook.

Najib berkata, projek lebuh raya RM461 juta satu km itu jauh lebih mahal berbanding kos RM161 juta satu km untuk projek Lebuhraya Kinrara-Damansara (KIDEX) di bawah pentadbirannya pada 2015 yang turut dituduh pemimpin DAP sebagai termahal di negara ini dan membazir.

Katanya, beliau juga pelik apabila kerajaan boleh membeli Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPLASH) dengan harga RM2.55 bilion iaitu 10 kali ganda lebih mahal daripada tawaran asal kerajaan Selangor pada 2013 dan memberi RM1 bilion untuk projek PIL, tetapi enggan membayar wang sara hidup untuk peneroka FELDA, nelayan, menaikkan gaji penjawat awam dan terbaru mahu mengurangkan jumlah penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

“Ini sekali gus membuktikan bahawa serangan dan tohmahan bertalu-talu dilakukan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 telah berjaya menyembunyikan realiti bagi memperdaya rakyat,” katanya. -BH

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.