SPR Perlu Beri Penjelasan Akta Mana Kain Rentang BN Langgar Peraturan

 

KUALA LUMPUR, 31 Julai – Bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor Tan Sri Noh Omar berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu menjelaskan peraturan dan seksyen apa yang menunjukkan kain rentang calon Barisan Nasional (BN) di PRK DUN Sungai Kandis melanggar peraturan akta pilihan raya.

Jelas beliau, SPR tidak boleh sekadar mengarahkan begitu sahaja untuk BN menurunkan kain rentang atau poster berkempen.

“Kita tidak ada halangan untuk menurunkan bahan kempen tetapi ia mesti berlandaskan undang-undang pilihan raya. Tunjukkan jika benar bahan tersebut melanggar peraturan tetapi sekiranya ia hanya satu arahan kosong maka kita tidak akan turunkan.

“Dalam pilihan raya umum yang lalu, pihak pembangkang ketika itu mereka bukan sekadar meletak banner tetapi ‘billboard’ namun mengapa ketika itu tidak diarahkan turun.

“Jika SPR mahu mengambil tindakan mestilah berdasarkan ‘rule of law’. Jangan dulu boleh sekarang tidak boleh sedangkan undang-undang ini sama… tidak pernah dipinda dari dulu,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Tambah Noh Omar, jika benar BN melanggar peraturan berkempen maka SPR perlu menjawab mengapa baru kini undang-undang tersebut digunapakai.

Beliau berkata demikian mengulas tindakan SPR yang mengarahkan agar BN menurunkan kain rentang berkempan di PRK DUN Sungai Kandis atas alasan ia akan menimbulkan perasaan tidak berpuas hati kepada pihak lain. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.