Pembinaan ECRL Akan Bantu Wujudkan Lebih Banyak Kawasan Pertumbuhan Ekonomi- Tengku Abdullah

KUANTAN, 23 Julai – Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah hari ini bertitah bahawa baginda menyambut baik keputusan Kerajaan Pusat untuk mengkaji semula kos pembinaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Baginda bertitah projek itu apabila dilaksanakan kelak, akan membantu mewujudkan lebih banyak kawasan pertumbuhan ekonomi termasuk di Pahang.

“Pembinaan ECRL akan meningkatkan saling hubungan kawasan-kawasan ekonomi dan perindustrian dari Pelabuhan Kuantan hingga ke Tumpat, Kelantan dan Pelabuhan Klang di Selangor,” titah baginda.

Tengku Abdullah bertitah demikian pada Istiadat Pembukaan Penggal Pertama Persidangan Dewan Undangan Negeri Pahang ke-14 di Wisma Sri Pahang di sini.

Baginda juga mengingatkan Kerajaan Negeri untuk terus bekerjasama dan menyokong usaha Kerajaan Pusat bagi meningkatkan pembangunan ekonomi, negeri yang seterusnya akan memberi manfaat kepada rakyat.

Tengku Abdullah juga menzahirkan kesyukuran kepada kelulusan 300 projek bernilai RM2.2 bilion pada tahun 2017 untuk Pahang di bawah Rolling Plan ke-3 di bawah Rancangan Malaysia ke-11.

Selain itu, baginda menggesa Kerajaan Negeri mencari alternatif untuk meningkatkan hasil tanpa bergantung sepenuhnya kepada sektor tanah dan galian yang dijangka menyumbang RM337.7 juta pada tahun ini dan sektor perhutanan (RM102.45 juta).

“Negeri ini mempunyai potensi yang tinggi untuk meningkatkan lagi hasil negeri. Kerajaan wajar bersikap proakif dalam menggalakkan pelaburan swasta terutamanya dalam sektor pembuatan.

“Taman Teknologi Pahang mempunyai potensi tinggi untuk dijadikan hub industri makanan halal, bioteknologi, teknologi maklumat, komunikasi dan agriteknologi yang dikenal pasti sebagai perniagaan global paling pantas berkembang ketika ini,” titah baginda.

Tengku Abdullah bertitah mahu tumpuan diberi kepada sektor pertanian dan penternakan supaya Pahang menjadi pengeluar hasil ternakan utama negara menerusi penggunaan teknologi yang dapat meningkatkan produktiviti.

Mengenai pembalakan, Tengku Abdullah menggesa supaya Jabatan Perhutanan Pahang untuk menggunakan teknologi semasa dan tidak hanya bergantung kepada kaedah penguatkuasaan tradisional dalam membendung aktiviti pembalakan haram.

“Penggunaan teknologi ‘remote sensing’ dan ‘geographic information system mapping’ boleh mengesan aktiviti pembalakan haram dalam masa singkat. Aktiviti pemantauan udara dengan mengguna ‘unmaned ariel vechile’ juga boleh melipatgandakan keberkesanan usaha pencegahan,” titah baginda.

Tengku Abdullah dalam titahnya juga menzahirkan penghargaan kepada bekas Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob atas khidmat cemerlang selama 19 tahun, khususnya dalam pelaksanaan rumah mampu milik Perumahan Rakyat 1Malaysia (PRIMA) Pahang yang diilhamkan beliau pada tahun 2013.

Titah baginda usaha membantu rakyat mendapat kediaman itu mencapai kejayaan apabila setakat Mei 2018, sebanyak 109 projek dengan 35,813 unit rumah telah diluluskan berbanding sasaran awal 15,000 unit rumah.

“Namun di sebalik kejayaan ini, ada desas desus mengenai segelintir kecil rakyat memiliki lebih daripada sebuah rumah dan menyewakannya sebagai homestay.

“Ini adalah perbuatan tidak bertanggungjawab dan tidak adil kepada rakyat yang benar-benar memerlukannya. Saya menggesa Kerajaan Negeri untuk menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya,” titah baginda.

Tengku Abdullah juga menarik perhatian kepada tindakan Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menurunkan kuasa kepada pentadbir tanah daerah bagi kelulusan kebenaran pindah milik tanah dan gadaian tanah.

Titahnya, urusan pindah milik antara waris qadim (yang berhak menerima pusaka) membolehkan kelulusan diberikan dalam tempoh sehari dua, manakala urusan pindah milik selain daripada waris qadim dan bangsa memerlukan kelulusan selama 10 hari.

“Saya juga dimaklumkan bahawa semua pemotongan atau diskaun yang diberi ke atas permohonan mengurangkan premium tanah mestilah mengikut kadar berpatutan. Saya berharap ketegasan baharu ini akan menyumbang kepada peningkatan hasil negeri,” titah baginda.

Tengku Abdullah seterusnya menasihatkan semua penjawat awam di Pahang agar berkhidmat dengan penuh integriti manakala semua wakil rakyat diingatkan tidak mempersendakan amanah yang digalas.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.