Kerajaan PH Harus Tadbir Negara Dengan Lebih Kreatif, Bukan Salahkan Kerajaan Terdahulu – Najib

KUALA LUMPUR, 23 Julai – Mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan baru pimpinan Pakatan Harapan (PH) harus mengambil pendekatan mentadbir negara dengan menunjukkan perkara-perkara lebih baik dan lebih kreatif dan bukan mengambil pendekatan menyalahkan kerajaan terdahulu.

Jelas beliau, kerajaan PH mesti melakukan yang terbaik untuk rakyat dan bukan mengambil langkah meletakkan segala-gala kesalahan kepada kerajaan dahulu.

“Rakyat tahu Barisan Nasional (BN) telah membawa banyak perubahan kepada negara kita dan telah meletakkan asas yang kukuh pada pembangunan ekonomi dan sosial.

“Walaupun kita telah tewas pada pilihan raya yang lalu tetapi apa yang saya harapkan masa depan negara mestilah terus diperjuangkan oleh kerajaan baru supaya mereka melakukan yang terbaik untuk rakyat dan bukan mengambil langkah menyalahkan segala-gala kepada kerajaan dahulu.

“Apa yang patut mereka beri tumpuan adalah mentadbir negara kita dan kepada rakyat sebab itu salah satu daripada ukuran dan pegangan rakyat mengapa pada 9 Mei mereka telah memilih PH… kerana janji-janji yang begitu lunak didengar tetapi hari ini rakyat masih mempersoalkan di mana  etaknya segala-gala yang telah dijanjikan,” ujar Najib kepada media selepas sambutan hari lahir beliau anjuran syarikat produksi Metamorphosis Global Studio Sdn Bhd itu.

Tambah Najib, kerajaan PH juga wajib menunaikan segala janji yang telah mereka taburkan kepada rakyat.

Najib sebelum itu meluangkan masa untuk menghadiri ‘kejutan’ sempena sambutan hari lahirnya ke-65 hari ini.

Sambutan sederhana itu turut dihadiri oleh isterinya Rosmah Mansor, Ketua Pembangkang Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi serta beberapa anggota parlimen BN.

Turut serta dalam acara itu juga ialah pelakon dan pengarah Ellie Suriati Omar serta bekas anggota Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Anina Saadudin.

Sebuah kek dengan logo 1Malaysia serta tulisan “Thank You Sir Datuk Seri Najib Razak” juga dihidangkan. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.